
Ia menyusul kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam yang mencadangkan kerjasama PRN Sabah turut melibatkan GRS bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Terdahulu pada Jumaat, Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan kerjasama PH-BN manakala Hajiji dalam kenyataan susulan tidak menolak kemungkinan GRS bertanding solo.
Ketika ditemui media sempena lawatan kerja ke Kunak hari ini, Hajiji berkata pendekatan itu penting bagi memastikan keputusan diambil mencerminkan kehendak dan pandangan gabungan secara menyeluruh demi kestabilan politik negeri.
“Kita akan rujuk kepada ahli Majlis Tertinggi GRS untuk membuat keputusan selanjutnya mengenai PRN akan datang,” katanya menurut portal berita SayangSabah.
Sementara itu, Hajiji berkata kestabilan politik adalah keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan segala perancangan pembangunan dilaksanakan dengan teratur.
Katanya, kerjasama antara GRS dan PH di Sabah ketika ini berjalan lancar dan saling menghormati.
“Kerajaan negeri ketika ini adalah hasil kerjasama GRS dan PH dan setakat ini tiada sebarang masalah timbul. Kita hormat pandangan Anwar dan komited untuk mewujudkan suasana politik yang stabil,” katanya.
Hajiji berkata, dalam pertemuannya bersama Anwar yang juga pengerusi PH di Tawau kelmarin, isu kestabilan politik turut dibincangkan selain pentingnya memahami aspirasi rakyat tempatan.
“Kita perlu mendengar suara rakyat Sabah bagi membentuk persefahaman politik yang kukuh demi masa depan negeri,” katanya.