
Ibrahim berkata majoriti ahli majlis tertinggi (AMT) Usno juga membantah tindakan presiden, Pandikar Amin Mulia tersebut kerana mahu parti itu terus kekal bersama GRS serta terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.
Katanya, keputusan membawa Usno keluar daripada GRS tidak pernah dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti termasuk AMT, Generasi Baru dan Kaum Ibu sebelum diumumkan presiden.
“Bagi kami, keputusan tersebut dibuat secara bersendirian dan tergesa-gesa oleh presiden dan bukannya sebulat suara oleh AMT.
“Buktinya ialah kehadiran AMT hari ini dengan kepentingan bersama menolak tindakan Presiden yang membelakangkan kepentingan ahli-ahli Usno,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, lapor Sinar Harian.
Ibrahim juga mendakwa notis mesyuarat AMT pada Rabu ini telah didedar dengan agenda penyusunan semula kepimpinan yang disifatkannya sebagai usaha mengambil tindakan terhadap pemimpin yang tidak sehaluan dengan presiden.
Beliau memberi amaran bahawa sebarang pemecatan atau tindakan disiplin perlu dibuat mengikut peruntukan perlembagaan parti dan bukannya secara sewenang-wenangnya.
Pada 22 April lalu, Pandikar Amin mengesahkan partinya meninggalkan GRS kerana tiada lagi keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan, khasnya selepas PRN Sabah.