Sarawak tiada niat ‘bunuh’ Petronas, kata premier

Sarawak tiada niat ‘bunuh’ Petronas, kata premier

Kerajaan Sarawak ingin jalin kerjasama baik antara Petronas dan Petros, kata Abang Johari Openg.

Sarawak premier Abang Johari Openg
Premier Abang Johari Openg kata kerajaan Sarawak tiada niat untuk ‘bunuh’ Petronas. (Gambar Ukas)
PETALING JAYA:
Premier Abang Johari Openg menegaskan kerajaan Sarawak ingin jalin kerjasama baik antara Petronas dan Petros, dan tiada niat untuk ‘bunuh’ syarikat minyak negara itu.

Beliau berkata kerajaan Sarawak ingin jalin kerjasama yang boleh membawa manfaat kepada Sarawak dan Malaysia.

“Tiada niat kerajaan Sarawak ‘membunuh’ Petronas seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, tetapi kita ingin menjalinkan kerjasama baik antara Petronas dan Petros yang boleh membawa manfaat kepada Sarawak dan Malaysia amnya,” katanya, lapor Utusan Borneo.

Abang Johari menambah Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju Petros diiktiraf sebagai pengagregat tunggal gas Sarawak kerana beliau faham hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perlembagaan adalah berteraskan MA63 dan selagi perjuangan kita berlandaskan undang-undang, kerajaan Sarawak akan terus berjuang mempertahankan haknya,” katanya.

Dalam satu kesepakatan dua parti yang jarang berlaku, Ahli Parlimen dan ahli politik pembangkang termasuk dari Sarawak, tampil menyokong kerajaan dengan mempertahankan kepentingan Petronas kepada negara sambil mengakui keperluan Sarawak.

Mereka berkata aspirasi Sarawak boleh dipenuhi tetapi bukan dengan mengorbankan Petronas sebagai ‘angsa bertelur emas’ negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.