Asean perlu pertahan sistem multilateral, kukuh model geo-ekonomi dengan GCC, China

Asean perlu pertahan sistem multilateral, kukuh model geo-ekonomi dengan GCC, China

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Sidang Kemuncak-GCC-China julung kali diadakan mencerminkan semangat muhibah dan komitmen blok serantau itu.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-46 (Pleno) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Asean perlu mempertahankan sistem multilateral atau pelbagai hala dan memastikan model geo-ekonomi Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China terus memainkan peranan bermakna dalam membentuk masa depan lebih inklusif serta mampan untuk rantau ini dan rakyatnya, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, penganjuran Sidang Kemuncak-GCC-China julung kali diadakan mencerminkan semangat muhibah dan komitmen blok serantau itu untuk memperdalam dan memperluas kerjasama dengan kejelasan strategik.

“Saya percaya sidang kemuncak tiga pihak ini menunjukkan kejayaan dalam membentuk semula matriks perkongsian yang selari dengan realiti multipolar (sistem terdiri beberapa pusat kuasa) hari ini.

“Ia melambangkan kuasa perpaduan blok serantau yang sudah pasti akan memberi impak positif kepada dunia secara keseluruhan,” katanya dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-46 (Pleno) di sini.

Malaysia sebagai pengerusi Asean 2025 di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ke-46, Sidang Kemuncak Asean-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak Asean-GCC-China pertama.

Sidang Kemuncak Asean-GCC dan Sidang Kemuncak Asean-GCC-China merupakan detik penting dalam memperkukuh kerjasama tiga pihak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.