
Suspek berkenaan, seorang bekas pemilik syarikat dan bekas ketua pegawai kewangan, disyaki mengemukakan butir matan palsu melibatkan penyediaan perkhidmatan sewaan mesin, fasiliti serta pelupusan sampah.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an ditahan petang semalam ketika beri keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Mereka direman sehari selepas permohonan dibuat SPRM di mahkamah majistret pagi tadi.
“Kedua-dua suspek dipercayai terlibat rasuah dan pengubahan wang haram bagi penyediaan perkhidmatan sewaan mesin serta fasiliti antara tahun 2019 hingga 2021,” menurut sumber.
“Siasatan juga memfokuskan kepada tuntutan perkhidmatan pelupusan sampah yang telah berlaku pada Januari hingga Oktober 2022 dan juga penerimaan wang rasuah.”
Siasatan juga sedang mengenal pasti kesalahan-kesalahan jenayah lain di bawah Kanun Keseksaan serta kesalahan aktiviti pengubahan wang haram, katanya.
Katanya, menerusi Op Flora yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di 11 buah premis di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan semalam, SPRM membekukan 76 akaun bank yang terdiri daripada akaun individu dan akaun syarikat melibatkan jumlah kira-kira RM1.68 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap semua suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM.