CBP-Perkeso jalin kerjasama perluas perlindungan sosial suri rumah

CBP-Perkeso jalin kerjasama perluas perlindungan sosial suri rumah

Co-opbank Pertama (CBP) menyeru suri rumah perluas capaian perlindungan dengan caruman tahunan RM120 setahun.

Co-opbank Pertama (CBP) dan Perkeso jalin kerjasama strategik dengan tawar Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR). (Gambar CBP)
Co-opbank Pertama (CBP) dan Perkeso jalin kerjasama strategik dengan tawar Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR). (Gambar CBP)
PETALING JAYA:
Co-opbank Pertama (CBP) menjalinkan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menawarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Ketua Pegawai Eksekutif CBP Khairil Anuar Mohammad Anuar, berkata langkah itu selari komitmen bank itu membangunkan kesejahteraan sosioekonomi melalui akses perlindungan sosial menyeluruh dan bersesuaian keperluan semasa.

Kerjasama sejak Feb lalu berkenaan bertujuan memperluas capaian perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah, khususnya dalam kalangan pelanggan wanita CBP.

“SKSSR diwujudkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 untuk memberikan perlindungan kepada suri rumah yang mengalami kecederaan, penyakit atau keilatan semasa menguruskan rumah tangga,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, suri rumah yang layak menyertai skim itu mestilah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap berusia 55 tahun ke bawah, dengan manfaat perlindungan seperti faedah perubatan, hilang upaya kekal, elaun keuzuran, dan kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis.

Caruman tahunan bagi skim itu ialah RM120 dan boleh dibayar sendiri, suami, ahli keluarga atau mana-mana pihak ketiga secara pendahuluan untuk perlindungan selama setahun.

Sebagai rakan promosi rasmi, CBP akan menyediakan kemudahan pendaftaran dan maklumat lanjut mengenai SKSSR di semua cawangannya di seluruh negara.

“Selain itu, CBP merancang menjalankan kempen promosi secara berterusan menerusi platform media sosial bagi memastikan mesej mengenai kepentingan perlindungan sosial kepada suri rumah dapat disebarkan secara meluas dan berkesan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.