Pakistan hargai usaha Anwar jadi pengantara konflik dengan India, kata utusan

Pakistan hargai usaha Anwar jadi pengantara konflik dengan India, kata utusan

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Syed Ahsan Raza Shah berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim ialah negarawan dihormati di Pakistan serta India.

Syed Ahsan Raza Shah
Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Syed Ahsan Raza Shah berkata negara itu terbuka kepada usaha pengantaraan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Pakistan menghargai usaha Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menjadi pengantara dalam konfliknya dengan India, kata Pesuruhjaya Tinggi negara itu ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah.

Beliau berkata, Anwar negarawan sangat dihormati di kedua-dua negara, yang menjadikan peranannya sebagai orang tengah berpotensi amat penting.

“Kami menghargai peranan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai pendamai dan penganjur keamanan. Kami percaya beliau negarawan bertaraf tinggi – antara yang terhebat dalam era ini.

“Kami mengalu-alukan tawarannya menjadi pengantara India dan Pakistan. Beliau sangat dihormati di kedua-dua negara dan menikmati hubungan kukuh dengan kepimpinan Pakistan serta India,” katanya dalam taklimat media di sini.

Minggu lalu, Ahli Parlimen India, Sanjay Kumar Jha yang berada di Malaysia sebagai sebahagian delegasi Parlimen berkata, konflik India-Pakistan isu dua hala yang tidak memerlukan pengantaraan asing.

Ini selepas Anwar dilaporkan berkata Malaysia terbuka membantu meredakan ketegangan India dan Pakistan susulan serangan maut di Pahalgam, India yang meragut 26 nyawa, kebanyakannya pelancong.

Beliau turut mengutuk semua bentuk keganasan dan menyuarakan sokongan untuk siasatan bebas serta telus bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab melancarkan serangan di Kashmir.

India melancarkan Operasi Sindoor 7 Mei lalu sebagai tindak balas tentera terhadap serangan Pahalgam pada 22 April lalu. New Delhi menyalahkan insiden itu atas “pengganas” disokong Pakistan, yang dinafikan Islamabad.

Kedua-dua pihak menggunakan jet pejuang, peluru berpandu, dron dan artileri dalam empat hari pertempuran terburuk dalam beberapa dekad, sebelum gencatan senjata diumumkan.

Dalam perkembangan lain, Syed Ahsan menggesa media mendapatkan penjelasan Wisma Putra berhubung dakwaan media India baru-baru ini bahawa Pakistan cuba mengganggu lawatan delegasi Parlimen India.

“Tidak terfikir sebuah negara atau kedutaan akan meminta negara tuan rumah menghalang kunjungan delegasi negara lain.

“Saya menggesa anda (media) dan rakan-rakan anda bertanya kepada Kementerian Luar Negeri sama ada dakwaan ini benar.”

Rabu lalu, Malaysiakini memetik sumber tidak dinamakan yang dipetik NDTV India mendakwa Suruhanjaya Tinggi Pakistan didakwa melobi pihak berkuasa Malaysia membatalkan lawatan delegasi itu.

Laporan itu turut mendakwa Malaysia menolak permintaan Pakistan membatalkan lawatan delegasi itu atas alasan “solidariti Islam”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.