
CEO LSHSM, Khairil Faizal Othman berkata plak itu dialihkan atas faktor keselamatan pelawat.
“Plak itu pada asalnya berfungsi sebagai penutup ruang khas yang menempatkan kapsul masa. Selepas kapsul masa dibuka, kawasan plak dibiarkan kosong dan ia tidak lagi boleh ditutup dengan selamat seperti sebelum ini.
“Ia dikhuatiri mampu menimbulkan risiko kecederaan kepada pelawat yang melalui kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Khairil juga berkata plak berkenaan yang memaparkan logo korporat lama tidak lagi sesuai untuk dipamerkan secara rasmi selaras dengan penjenamaan semula syarikat pengurusan Menara KL.
“Plak itu tidak dimusnahkan atau dibuang seperti didakwa. Sebaliknya ia telah disimpan dengan baik oleh LSHSM,” katanya tanpa mengulas lanjut di mana ia disimpan.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa syarikat itu mahu memadamkan atau mengubah sejarah negara dengan mengalihkan plak itu.
“Semua tindakan yang diambil sememangnya berdasarkan pertimbangan keselamatan, pematuhan korporat dan komitmen untuk memelihara legasi Menara KL,” katanya.
Terdahulu, seorang pemimpin Bersatu Wan Saiful Wan Jan dilaporkan mempersoalkan tindakan mengalih plak yang memperingati kapsul yang ditanam bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 1996 sebelum dibuka pada 13 April lalu.
Kapsul masa itu mengandungi pelbagai barangan simbolik mencerminkan aspirasi dan harapan Malaysia untuk mencapai status negara maju seperti yang digariskan dalam gagasan Wawasan 2020.