SPRM akan fail permohonan lucut hak Menara Ilham

SPRM akan fail permohonan lucut hak Menara Ilham

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya akan memfailkan permohonan lucut hak menara itu di bawah Amla.

ilham tower
Semalam, SPRM mengumumkan menyita Menara Ilham buat kali kedua. (Gambar website)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memfailkan permohonan untuk melucut hak Menara Ilham di Kuala Lumpur pada minggu depan, kata Ketua Pesuruhjaya Azam Baki.

Azam berkata permohonan pelucutan hak itu difailkan mengikut Seksyen 55 atau 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), lapor Utusan Malaysia.

Seksyen 56 Amla, yang membenarkan pelucuthakan harta walaupun tanpa pendakwaan, jika hakim Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa aset terbabit adalah hasil aktiviti haram, digunakan dalam pelakuan kesalahan, atau merupakan bahan bukti kesalahan di bawah Amla.

SPRM mula-mula menyita menara setinggi 274 meter yang dimiliki oleh Allahyarham Daim Zainuddin dan keluarganya di bawah Akta SPRM pada Disember 2023.

Ia sebelum ini berkata ia boleh menyita menara itu sehingga 18 bulan sementara siasatan dijalankan.
Semalam, SPRM mengumumkan bahawa ia telah menyita semula menara itu, kali ini di bawah Amla.

Balu Daim, Naimah Khalid, merancang untuk mencabar penyitaan itu di mahkamah.

Bulan lalu, SPRM membuka lapan kertas siasatan baharu terhadap aset ‘bernilai tinggi’ yang dikaitkan dengan Daim dan ahli keluarganya selepas menerima maklumat baharu dari luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.