
“Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau juga mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menyelaraskan bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa.
“Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi. Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang gantinya,” katanya.
Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir dalam satu hantaran di Facebook berkata kementerian akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan susulan tragedi itu.
Terdahulu, sekurangnya 15 maut dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik.
Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjong Malim, Perak.
Seramai 48 individu terbabit dalam kemalangan itu dengan 13 dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian, tiga ketika dirawat di hospital dan beberapa lagi mangsa cedera.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Norkhalid Salimin berkata kebanyakan penumpang bas merupakan pelajar UPSI yang dalam perjalanan dari Terengganu, pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas cuti Aidiladha.