Letak bukan Islam di kerusi selamat PAS, ‘langkah jujur’ rebut sokongan bukan Melayu

Letak bukan Islam di kerusi selamat PAS, ‘langkah jujur’ rebut sokongan bukan Melayu

Penganalisis berkata PAS yang menunjangi SG4 perlu juga bukti mereka mampu perintah lebih baik daripada PH dan BN dalam usaha raih sokongan golongan itu.

pas
Penganalisis berkata, PAS perlu mengurangkan retorik dan menjawab isu-isu struktural seperti kebebasan mengamalkan keagamaan dan keharmonian kaum lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis cadang dua perkara penting dalam usaha PAS meraih undi bukan Melayu iaitu meletakkan calon bukan Islam di kerusi selamat dan memperagakan kejayaan menerajui empat kerajaan negeri (SG4) Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata PAS perlu meninggalkan retorik politik untuk mengubah persepsi di mata pengundi bukan Melayu.

“Sehingga kini PAS belum mampu tunjukkan mereka adalah lebih baik daripada DAP atau PKR kerana dalam pentadbiran negeri SG4 tak banyak untuk mereka dapat banggakan.

“PAS perlu mengurangkan retorik yang begitu ekstrem, PAS perlu pamer kemampuan mentadbir menjadikan SG4 lebih baik dari negeri ditadbir PH atau BN…itu perlu dilakukan oleh mereka pada ketika ini,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM), berkata rasa tidak puas hati bukan Melayu kepada PH akan beri kelebihan kepada PAS dengan parti itu menjawab ‘isu-isu struktural’.

“Ia termasuk isu kebebasan mengamalkan keagamaan dan keharmonian kaum, serta menolak naratif teokrasi. Tanpa perubahan ini, rasa tidak puas hati kepada PH itu hanya bersifat sementara sebab orang bukan Melayu sukar pula menerima PN (Perikatan Nasional).

“Selain itu, PAS perlu menangani ketidakpercayaan termasuk PAS sejak dulu pernah melabelkan bukan Islam sebagai kafir, yang masih melekat dalam memori masyarakat bukan Melayu,” katanya.

PAS kena ‘jujur’ letak calon bukan Islam

Katanya, walaupun wujud rasa tidak puas hati terhadap PH, hal itu tidak bermakna bukan Melayu bersedia menyokong PAS.

“PAS perlu berani dan jujur meletakkan calon bukan Islam di kerusi mampu menang seperti Umno meletakkan MIC, MCA di kerusi yang boleh menang tanda kejujuran kerjasama dengan pengundi bukan Islam…bukannya semata-mata beretorik atau sekadar simbolik,” katanya.

Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata untuk menarik sokongan bukan Melayu PAS perlu mengubah pendekatan dengan tidak terlalu fokus sentimen agama, bangsa dan Raja-raja, sebaliknya membawa pendekatan sederhana.

Bagi Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), PAS dan PN perlu bekerja lebih keras daripada apa dilakukan PKR, DAP, dan Amanah sewaktu mereka bergerak sebagai pembangkang, dengan pembawakan politik matang bebas unsur perkauman.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah, berkata parti itu menyasarkan pengundi bukan Melayu yang tidak berpuas hati dengan kerajaan dalam persiapan menghadapi PRU16, walaupun mengakui mereka masih bergelut meraih golongan pengundi itu.

Beliau berkata, cabaran dihadapi PAS ialah mencari cara lebih meyakinkan untuk meraih kepercayaan pengundi bukan Melayu menjelang PRU16, selain perlu mempertahankan integriti dan imej bersihnya untuk mengekalkan sokongan anak muda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.