Kerajaan setuju tubuh Akademi Sepak Takraw

Kerajaan setuju tubuh Akademi Sepak Takraw

Anwar Ibrahim berkata ia selari semangat kerajaan yang komited membangunkan sukan rakyat dan warisan budaya.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata Kementerian Belia dan Sukan ada memohon peruntukan RM6 juta bagi penubuhan akademi berkenaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan menubuhkan Akademi Sepak Takraw dalam masa terdekat sebagai pengiktirafan terhadap sukan tradisional itu yang semakin mendapat tempat di peringkat serantau dan antarabangsa.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata penubuhan akademi itu selari semangat kerajaan yang komited membangunkan sukan rakyat dan warisan budaya.

“Bola sepak menjadi salah satu tarikan yang kuat di kalangan anak muda tetapi sepak takraw telah mencatat prestasi yang membanggakan di peringkat rantau dan juga dunia, ia turut menarik minat semua di bandar dan di desa, sampai setiap kampung dan desa ada pasukan dan permainan sepak takraw.

“Kita hidupkan (sukan ini) kerana ada kaitan dengan seni budaya kita dan oleh itu saya setuju untuk menyegerakan kelulusan penubuhan Akademi Sepak Takraw,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2025 di Dataran Merdeka.

Anwar turut memaklumkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh telah memohon peruntukan RM6 juta bagi penubuhan akademi tersebut, dengan penelitian lanjut akan dibuat, selain turut mengumumkan kelulusan RM4 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM).

“Kalau ikut kajian dan telitian Kementerian Kewangan, inilah peruntukan kepada KBS paling tinggi dalam sejarah. Maknanya, kita ini bukan sekadar ngomong-ngomong, tidak tapi mengambil tindakan,” katanya.

Tambahnya lagi, keupayaan kerajaan membantu rakyat dengan lebih mudah adalah hasil pengurusan kewangan yang cermat serta komitmen terhadap tatakelola yang bersih, bukan kerana ‘menyauk wang rakyat’.

Anwar turut membidas budaya rasuah dalam kalangan pemimpin yang mana ada mempersoalkan kewajaran tindakan kerajaan mengambil balik wang diseleweng.

“Saya nak tanya anak-anak muda, apakah kita harus izin pemimpin rasuah. Apakah wajar kita ambil tindakan kepada perasuah dan ambil wang mereka untuk dicurahkan kepada rakyat.

“Ini saya tahu jawapannya kerana anak muda ini punya pencerahan, semangat, keyakinan, ilmu, dan daya juang yang tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.