Lelaki disyaki terlibat kes tipu pakej haji direman

Lelaki disyaki terlibat kes tipu pakej haji direman

Suspek berusia 60 tahun direman empat hari selepas ditahan semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

handcuff
Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki direman empat hari bermula hari ini selepas disyaki terbabit dalam penipuan pakej haji melibatkan sekumpulan jemaah warga emas yang didakwa dikurung di Arab Saudi baru-baru ini.

Majistret Fairuz Syuhada Amran mengeluarkan perintah reman sehingga 19 Jun terhadap suspek berusia 60 tahun itu di Mahkamah Majistret Seremban selepas membenarkan permohonan polis.

Ketua Polis Nilai, Abdul Malik Hasim, berkata suspek ditahan semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Dia ditahan bersama jemaah haji lain yang selamat tiba di KLIA semalam dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya, menurut Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan pakej haji melibatkan tiga beranak dari Mantin.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan terdapat mangsa lain yang turut terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Kita masih menyiasat sama ada penipuan ini dilakukan atas kapasiti individu atau melibatkan sebuah syarikat. Mana-mana mangsa diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini kerugian dianggarkan mencecah RM81,000, dengan setiap individu dikenakan bayaran sebanyak RM27,000.

Terdahulu, media melaporkan hasrat sekumpulan jemaah dari Malaysia untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tidak kesampaian, selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan.

Mangsa didakwa dikurung dan diarahkan melalui laluan berbahaya di Arab Saudi ketika mengerjakan haji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.