Bapa, anak suspek kes bunuh, kerat wanita ditahan

Bapa, anak suspek kes bunuh, kerat wanita ditahan

Tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 70an kira-kira 5 petang semalam sebelum anaknya yang berusia 20an ditahan di sebuah rumah di Sepanggar kira-kira 11 malam.

handcuff
Setakat ini motif kejadian dipercayai akibat cemburu dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kata Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu Syed Lot Syed Ab Rahman.
PETALING JAYA:
Polis berjaya menahan suspek bapa dan anak yang dikaitkan dengan kes pembunuhan kejam wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Kota Kinabalu, semalam.

Tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 70an kira-kira 5 petang semalam sebelum anaknya yang berusia 20an ditahan di sebuah rumah di Sepanggar kira-kira 11 malam.

Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua tangkapan berkenaan.

“Suspek kedua ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sebelum itu, suspek utama lelaki tempatan berusia 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu,” katanya ketika dihubungi, menurut Info X.

Menurutnya, menerusi penahanan kedua-dua suspek, kes terbabit dianggap selesai namun polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi melengkapkan kes siasatan.

Terdahulu media melaporkan beberapa anggota badan yang dikerat-kerat dipercayai milik wanita berusia 40an ditemui dibuang di kawasan tapak pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar.

Penemuan awal membabitkan kaki dan tangan berhampiran tempat letak kereta bersebelahan sebuah pasar raya pada 6.30 pagi. Anggota badan itu ditemui oleh pekerja lori sampah yang kemudian memaklumkan kepada polis.

Pencarian lanjut oleh polis dengan bantuan pekerja lori sampah membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada 11.40 pagi di satu lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran pasar raya itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.