
Lim Chee Seong, 44, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Berita Harian.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa membunuh Lim Bee Lan, 41, di sebuah rumah di Jalan Damai 2, Taman Damai 11, Batu Pahat antara 10 malam hingga 11 pagi, 26 dan 27 Jan lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali jika tidak dihukum gantung.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan yang memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi sebutan semula kes memandangkan pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat, laporan forensik rakaman kamera litar tertutup (CCTV), laporan DNA dan laporan perubatan tertuduh.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 April.