
Majlis menandatangani perjanjian disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, yang juga pengerusi MBINS.
Kerjasama itu merangkumi pembelian 300 ekar tanah serta pembangunan tambahan 300 ekar melalui entiti usaha sama antara Guthrie dan MBINS dengan keseluruhan kawasan projek terletak di Ladang Sengkang, aset perladangan milik Guthrie.
Dalam kenyataan bersama, Guthrie dan MBINS berkata projek berimpak tinggi itu akan dibangunkan atas tanah seluar 600 ekar di Pasir Panjang, Port Dickson, melalui usaha sama akan diterokai kedua-dua pihak.
“Kerja pembinaan infrastruktur dijangka bermula pada suku kedua 2026, tertakluk kepada penubuhan entiti usaha sama serta penyelesaian pelan induk yang dijangka dimuktamadkan dalam suku pertama 2026,” menurut kenyataan.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie, Mohamad Helmy Othman Basha, pemeteraian perjanjian itu sebagai satu mercu penting dalam usaha syarikat memaksimumkan nilai tanah simpanannya, selaras perancangan pembangunan negeri.
“Kerjasama dengan MBINS ini memperkukuh lagi kehadiran Guthrie dalam landskap pembangunan perindustrian Negeri Sembilan.
“Pendekatan kami menggabungkan pengkomersialan tanah dengan kerjasama strategik, sekali gus membolehkan kami menjana nilai segera dan aliran pendapatan berulang untuk masa depan,” katanya.
Helmy berkata, PDFZ juga bakal memacu pertumbuhan sosioekonomi setempat dan memberi pelbagai manfaat kepada kawasan sekitar.
PDFZ adalah sebahagian daripada inisiatif strategik bawah Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), yang turut merangkumi pembangunan Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi NS, Lembah Aeroangkasa NS, Hab Maritim Bersepadu, dan Lembah Semikonduktor NS.
Sementara itu, Aminuddin berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen teguh kerajaan negeri dalam menerajui pembangunan mampan berasaskan inovasi.
“Penubuhan PDFZ bukan sahaja mewujudkan pembangunan taman perindustrian moden, malah turut membina landasan ke arah transformasi Port Dickson sebagai bandar pelabuhan pintar generasi akan datang,” katanya.
PDFZ akan dibangunkan berhadapan tapak cadangan Midport – pelabuhan kontena pintar yang dirancang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kedudukan PDFZ berhampiran Midport bakal mewujudkan sinergi ekonomi yang menyeluruh, dengan kelebihan dari segi logistik masa nyata dan pengurusan rantaian bekalan lebih efisien.
Aminuddin berkata, kedua-dua projek itu mampu menarik syarikat global, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, dan memperkukuh peranan Negeri Sembilan dalam landskap ekonomi negara.
PDFZ dijangka menjana manfaat luas termasuk peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan infrastruktur moden dan pembentukan kluster industri mesra alam, terutama dalam bidang teknologi hijau, logistik pintar dan pembuatan berasaskan inovasi.
Sebelum ini, Guthrie menjalinkan kerjasama strategik dengan Eco World Development Group Berhad dan NS Corporation untuk membangunkan Eco Business Park 7 di Jimah.
Dengan pendekatan bersifat jangka panjang, Guthrie yakin model pembangunan berteraskan sinergi antara sektor awam dan swasta mampu memanfaatkan sepenuhnya nilai aset tanah miliknya serta menyumbang kepada pembangunan mampan negara.