Merombak jaringan keselamatan sosial negara bagi pekerja tidak formal

Merombak jaringan keselamatan sosial negara bagi pekerja tidak formal

Pakar beri amaran, sistem sedia ada menyebabkan terlalu ramai tercicir perlindungan.

Norma Mansor berkata, kerajaan perlu pastikan sistem caruman adil dan tidak beban pekerja secara berlebihan, terutamanya mereka yang berpendapatan terhad. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Walaupun sistem keselamatan sosial Malaysia dirangka untuk memberikan sokongan kepada pekerja yang cedera ketika bertugas, perlindungan kurang terjamin apabila kemalangan berlaku di luar waktu kerja rasmi.

Kelemahan ini bukanlah isu baharu, namun menjadi semakin ketara seiring dengan perubahan corak kerja yang menyaksikan lebih ramai rakyat Malaysia menceburi bidang yang tugasnya tidak selalu mengikut jadual konvensional.

Keadaan ini jelas dilihat pada 2023, dengan sejumlah 82,876 kemalangan dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), namun hanya 68,220 diiktiraf sebagai insiden berkaitan kerja.

Hal ini bermakna, seramai 14,656 pekerja (17.68%) tidak dilindungi, dan jumlah ini berkemungkinan lebih besar kerana ia tidak mengambil kira pekerja dalam sektor tidak formal yang tidak aktif mencarum di bawah Skim Bencana Pekerjaan Perkeso.

Norma Mansor
Norma Mansor.

Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya Norma Mansor berkata, meskipun sistem semasa agak kukuh bagi pekerja sektor formal, ia gagal mengambil kira realiti pekerjaan moden yang kian berubah.

Katanya, jurang perlindungan kecederaan paling ketara wujud dalam sektor tidak formal serta dalam kalangan pekerja sektor formal tanpa kontrak rasmi, yang sering dikecualikan daripada skim perlindungan wajib.

Kelemahan sistem sedia ada tidak hanya terbatas pada skop perlindungan, malah mereka yang layak menerima sokongan juga sering berdepan halangan besar ketika membuat tuntutan.

Jose Rizal
Jose Rizal.

Ketua Aktivis Gabungan E-hailing Malaysia (GEM), Jose Rizal, berkata penambahbaikan perlu dilakukan terhadap sistem tuntutan Perkeso bagi memudahkan proses itu terutama bagi mereka yang sedang pulih daripada trauma.

“Mereka yang membuat tuntutan lazimnya baru sahaja ditimpa kemalangan dan mengalami trauma. Keadaan ini pastinya menyukarkan mereka membuat tuntutan dengan Perkeso,” katanya kepada FMT.

Isi jurang

Bagi menangani kebimbangan yang semakin meningkat, kerajaan mencadangkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK), iaitu skim tanpa mengira punca kemalangan yang bertujuan memperluas perlindungan di luar lingkungan kerja konvensional.

SKBBK direka bentuk untuk menyediakan perlindungan tanpa mengira masa atau tempat kecederaan berlaku, menjadikannya amat relevan bagi pekerja yang mengikut aturan kerja fleksibel atau hibrid, serta yang mempunyai kontrak pekerjaan membolehkan mereka bekerja tidak kira tempat.

Norma melihat cadangan itu sebagai satu langkah positif ke arah sistem yang lebih inklusif, dengan mengalihkan tumpuan daripada mencari kesalahan kepada usaha memastikan rakyat mendapat bantuan yang diperlukan.

“Ini menjadikan tuntutan lebih ringkas dan pantas. Ia juga mengurangkan beban individu dan keluarga mereka untuk membuktikan kesalahan pada waktu yang sedia sukar. Bagi saya, itulah kelebihan utama skim sebegini,” katanya.

Norma turut menekankan faedah-faedah lain yang mungkin diperoleh daripada skim itu, termasuk peningkatan kesaksamaan sosial, pengurangan risiko jatuh miskin selepas cedera, selain mengurangkan beban terhadap sistem kesihatan dan jaminan pasaran buruh yang lebih kukuh.

“Rakyat perlukan keyakinan bahawa mereka ada sandaran apabila mengambil risiko, khususnya bersama inovasi. Untuk menyokong pengambilan risiko sebegini, kita perlu perlindungan sosial yang lebih mantap,” ujarnya.

Walaupun skim ini diluluskan secara dasar pada 2024, ia masih menanti kelulusan Parlimen – kelewatan yang menyebabkan ramai pekerja rentan terbiar dalam ketidaktentuan.

Jangan ada kelewatan lagi

Jose menyambut baik cadangan skim itu, menyatakan potensinya untuk merapatkan jurang perlindungan keselamatan sosial yang telah lama wujud bagi rakyat Malaysia dalam bentuk pekerjaan yang kian berubah.

Bagaimanapun beliau menekankan, untuk melindungi pekerja gig sepenuhnya, lambat-laun kerajaan perlu memperluas skim itu bagi meliputi golongan bekerja sendiri, dan dalam pada itu, memastikan adanya garis masa serta kerangka kerja yang jelas untuk rangkuman itu.

“Berbeza dengan pekerja di pejabat bekerja di lokasi tetap, tempat kerja (pemandu e-panggilan) berubah setiap hari. Sukar untuk buktikan sama ada sesuatu insiden berlaku ketika bekerja atau dalam perjalanan pulang,” tambahnya.

Cabaran dan halangan

Apabila ditanya mengenai kemungkinan kelemahan skim itu, Norma berhujah, kebimbangan berhubung kebarangkalian ia disalah guna, seperti tuntutan palsu, tidak sepatutnya membantutkan pembaharuan yang bermakna.

Katanya, kerajaan perlu memastikan sistem caruman adil dan tidak membebankan pekerja secara berlebihan, terutamanya mereka yang berpendapatan terhad.

“Skim ini perlu mengambil kira bagaimana ia boleh jadi benar-benar inklusif, terutamanya bagi golongan berpendapatan paling rendah. Lebih cepat kita laksanakannya, lebih cepat kita dapat bina rizab yang diperlukan untuk menampung skop tuntutan keselamatan sosial yang lebih luas,” katanya.

Pengenalan skim ini juga boleh mencetuskan kesan rantaian bagi cara kes kecederaan peribadi dikendalikan, berpotensi membentuk semula peranan wakil guaman dalam tuntutan berkait kemalangan.

Tunku Farik Ismail
Tunku Farik Ismail.

Peguam Tunku Farik Ismail berkata, walaupun SKBBK mungkin mengurangkan kebergantungan pada tindakan undang-undang, ia mungkin tidak akan memansuhkan peranan peguam kecederaan peribadi sepenuhnya.

Katanya, sistem dwi-perlindungan dijangka akan kekal kerana sesetengah individu mungkin memilih untuk mengambil insurans persendirian sebagai tambahan, di samping perlindungan Perkeso.

“Perkeso mempunyai had jumlah pampasan yang boleh dibayar. Ia ditetapkan oleh statut, manakala insurans kemalangan peribadi bergantung pada kemampuan kewangan seseorang. Bayar lebih, beli perlindungan lebih tinggi,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Norma berkata, pengembangan Perkeso boleh menjadi peluang kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan, sambil menambah persaingan sihat akan mendorong penambahbaikan.

“Kita patutnya bekerjasama, bukan cuba menyingkirkan satu sama lain lain. Kita bersaing, jadi lebih baik, dan bekerjasama,” katanya.

Hala tuju

Tunku Farik berkata, walaupun skim itu merupakan langkah ke arah yang betul, anjakan pemikiran yang lebih meluas diperlukan, bukan sahaja dalam kalangan penggubal dasar, tetapi juga majikan dan orang ramai.

“Apabila bercakap soal insurans, ia bukan sekadar tentang jimat bayaran premium. Sebaliknya, ia tentang memikirkan nasib insan yang mungkin terkesan jika ditimpa musibah,” katanya.

“Prinsip yang sama diguna pakai di tempat kerja. Jika pekerja ditimpa kecederaan, adakah caruman sudah dibuat? Adakah mereka akan dapat perlindungan?”

Norma berhujah, seiring langkah Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi, perlindungan sosial mesti diterapkan sebagai sebahagian asas menjalankan perniagaan.

“Kita perlu berfikir sebagai negara yang berpandukan solidariti bersama majikan yang mengiktiraf perkara ini sebagai sebahagian kos menjalankan perniagaan,” katanya.

“Jika pekerja tidak dilindungi, sebarang krisis besar boleh mendatangkan cabaran hebat buat Malaysia. Usaha memperluas liputan keselamatan sosial untuk merangkumi semua ialah hala tuju yang tepat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.