Mengapa caruman mandatori insurans sosial menguntungkan semua

Mengapa caruman mandatori insurans sosial menguntungkan semua

Insurans sosial yang wajib bukan sekadar jaringan perlindungan individu tetapi tanggungjawab bersama yang memastikan kestabilan kewangan seluruh tenaga kerja dan ekonomi.

Tekanan kepada sistem perlindungan sosial semakin dirasai susulan pelbagai faktor antaranya seperti penyusutan kadar kelahiran, perubahan keperluan ekonomi dan pengurangan jumlah golongan muda yang memasuki pasaran kerja untuk menyokong populasi semakin menua.
PETALING JAYA:
Populasi Malaysia yang semakin menua, penyusutan kadar kelahiran serta perubahan dalam struktur pasaran buruh meningkatkan tekanan terhadap skim perlindungan sosial termasuk yang diwajibkan kepada pekerja bergaji.

Meskipun jumlah pencarum semakin berkurang, tanggungan bilangan penerima manfaat kian meningkat akibat penyakit, kecederaan atau kehilangan pekerjaan.

Keadaan itu secara tidak langsung mencerminkan bahawa insurans sosial yang wajib bukan sekadar jaringan keselamatan individu, tetapi tanggungjawab bersama yang melindungi kestabilan kewangan tenaga kerja dan ekonomi secara keseluruhan.

Sistem caruman berkumpulan 

Di Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengendalikan sistem caruman berkumpulan melalui Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan manakala Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) turut menyediakan perlindungan.

Caruman daripada majikan dan pekerja dikumpulkan dalam dana bersama dan manfaat diagihkan berdasarkan kelayakan, bukan berdasarkan jumlah caruman individu.

Pekerja sektor formal wajib mencarum dan majikan diwajibkan oleh undang-undang mendaftarkan pekerja yang layak serta membuat caruman bulanan, manakala pekerja menyumbang pada kadar lebih rendah.

Struktur wajib ini memastikan perkongsian risiko yang meluas serta aliran caruman yang stabil untuk mengekalkan skim-skim ini dalam jangka panjang.

Ahli ekonomi Geoffrey Williams menekankan kepentingan penyertaan wajib memandangkan risiko berbeza mengikut pekerjaan.

“Jika insurans ditawarkan secara berasingan kepada pekerja pembinaan berdasarkan risiko kecederaan dan kos rawatan, ia akan menjadi terlalu mahal yang pasti tidak mampu dimiliki mereka,” katanya.

“Pada masa sama, pekerja pejabat pula tidak merasakan risiko, jadi mereka juga tidak akan mengambil insurans.

“Untuk mengatasinya, semua orang mencarum dalam sistem insurans wajib yang pada asasnya seperti cukai kepada semua pekerja formal.

“Ia bagi mengumpulkan risiko dan membina dana boleh digunakan oleh semua apabila diperlukan.”

‘Mengapa saya perlu bayar untuk orang lain?’ 

Sesetengah pekerja mungkin mempersoalkan mengapa mereka perlu mencarum kepada sistem yang mungkin tidak memberi manfaat secara langsung kepada mereka.

Williams berkata walaupun seseorang itu mencarum untuk orang lain tetapi mereka dilindungi hasil caruman pekerja lain yang mewujudkan sistem perlindungan terhadap kejadian tidak dijangka serta memastikan kos kekal mampu ditanggung semua.

Ahli ekonomi Chung Tin Fah dari Universiti HELP pula berkata pembiayaan perlindungan penting secara individu adalah terlalu mahal dan tidak praktikal, justeru sistem perkongsian caruman diperlukan.

“Tiada siapa boleh hidup bersendirian,” katanya.

“Kita hidup dalam masyarakat di mana perlindungan seperti kesihatan, keselamatan, pendidikan dan infrastruktur perlu dikongsi bersama.”

Jaringan keselamatan semakin terhakis 

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan pada Ogos tahun lalu memaklumkan menjelang 2048, golongan berumur 65 tahun ke atas dijangka merangkumi 14% daripada populasi.

Dengan penyusutan kadar kelahiran dan perubahan keperluan ekonomi, bilangan tenaga kerja muda yang akan menyertai tenaga kerja menjadi semakin sedikit untuk menyokong populasi menua, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas sistem insurans sosial.

Pada masa sama, kira-kira 3.45 juta pekerja gig, bekerja sendiri dan sektor tidak formal masih berada di luar skim insurans sosial wajib.

Di bawah Akta Pekerja Gig 2025, pekerja gig yang terlibat melalui platform perlu mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Lindung Kendiri) Perkeso, namun caruman masih bersifat sukarela bagi pekerja, dengan platform hanya membuat potongan jika dipersetujui.

Memperkukuh sistem 

Chung turut mencadangkan liputan wajib diperluas kepada pekerja gig dan sektor tidak formal bagi mengukuhkan lagi sistem caruman berkumpulan.

Beliau berkata pelarasan kadar caruman serta pelaburan dana yang bijak juga penting untuk memastikan kelestarian sistem pada masa hadapan.

Tambahnya, dana lebih besar dan stabil dapat mengurangkan kebergantungan kepada perbelanjaan kecemasan kerajaan dan cukai

Namun, beliau mengingatkan usaha memperkukuh sistem itu bukan mudah kerana perlu mengimbangi pelbagai risiko dan ciri tenaga kerja yang berbeza.

“Mendapatkan data tepat adalah mencabar dan memerlukan pemantauan rapi, terutama apabila demografi berubah dan pekerjaan semakin beralih kepada sektor gig serta pekerja asing,” katanya.

Dengan berkongsi risiko secara kolektif, Malaysia mampu melindungi individu, keluarga dan ekonomi secara keseluruhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.