
Perkeso berkata integrasi menggunakan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) akan membolehkan caruman dipotong secara automatik setiap kali transaksi pembayaran dibuat kepada pekerja gig.
Menurutnya, mekanisme itu dijangka meningkatkan kecekapan operasi, ketelusan serta tahap pematuhan dalam kalangan penyedia platform.
“Langkah ini selaras dengan Akta Pekerja Gig 2025 yang mewajibkan semua penyedia platform mendaftarkan pekerja gig di bawah mereka dengan Perkeso.
“Penyedia platform yang belum berdaftar juga tetap tertakluk kepada tanggungjawab tersebut, termasuk memastikan caruman dipotong bagi menjamin perlindungan pekerja,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah mekanisme baharu itu, caruman pada kadar 1.25% akan ditolak secara automatik daripada setiap bayaran pendapatan sebaik sahaja sesuatu tugasan diselesaikan.
Perkeso berkata pendekatan ini bukan sahaja meluaskan liputan keselamatan sosial, malah memastikan pekerja gig terus dilindungi secara konsisten tanpa menjejaskan fleksibiliti pekerjaan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, statistik Skim Lindung Kendiri menunjukkan trend peningkatan kes kemalangan melibatkan pekerja gig.
Jumlah kes dilaporkan meningkat daripada 4,021 pada 2023 kepada 4,839 pada 2024, sebelum mencecah 5,496 kes pada 2025.
Bagi tempoh sama, jumlah penerima faedah turut meningkat daripada 6,294 orang pada 2023 kepada 6,725 orang pada 2024, dan seterusnya melonjak kepada 7,893 orang pada 2025.
Perkeso berkata trend itu menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh perlindungan sosial bagi golongan berkenaan, sejajar dengan perubahan landskap pekerjaan yang semakin fleksibel dan berkembang pesat.
“Usaha ini penting bukan sahaja untuk melindungi pekerja gig ketika berdepan risiko, malah memastikan kebajikan waris mereka terus terjamin sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” katanya.