
Projek yang memfokuskan kepada pemerkasaan komuniti paling terpencil di Pulau Banggi dengan kemahiran digital, literasi ICT dan akses kepada peluang ekonomi menang dalam kategori C4:Pembinaan Kapasiti.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang menerima anugerah itu dalam majlis rasmi sempena Sidang Kemuncak Peringkat Tinggi Masyarakat Maklumat Sedunia+20 (WSIS+20) di Geneva berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen kerajaan Madani memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus digital.
“Kejayaan ini milik komuniti yang telah memperoleh kemahiran digital demi masa depan yang lebih baik dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong visi negara inklusif serta saling berhubung,” katanya.
Pulau Banggi yang terletak kira-kira 70km dari Kudat, Sabah dan hanya boleh diakses menerusi feri atau bot laju, menempatkan kira-kira 20,000 penduduk dengan sumber ekonomi utama berasaskan perikanan, kelapa sawit dan getah.
Sementara itu, Projek Stingray II Pulau Ketam juga diiktiraf sebagai johan kategori C2: Infrastruktur Maklumat dan Komunikasi menerusi pelaksanaan kabel gentian optik dasar laut sejauh 46.4km.
Projek itu membantu penduduk setempat terutama pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian, selain memudahkan capaian kepada perkhidmatan teleperubatan serta melonjakkan pertumbuhan perniagaan digital berskala kecil.
Dalam pada itu, Ketua pejabat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Mohd Arif Adenan berkata, pengiktirafan antarabangsa yang diterima Malaysia itu membuktikan negara ini mampu menjadi peneraju dalam bidang telekomunikasi global.
“Ini satu kejayaan membanggakan kerana ia membuktikan Malaysia tidak meninggalkan mana-mana rakyatnya dalam aspek kesalinghubungan digital dan internet,” katanya kepada media, lapor Bernama.
Menurutnya, penyertaan SKMM dalam WSIS+20 juga memperkukuh sokongan negara terhadap inisiatif Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Berikutan kejayaan di Pulau Banggi, SKMM memaklumkan, inisiatif Nadi kini diperluas ke kawasan lain termasuk Pulau Mandi Darah di utara Sabah, dengan sasaran peluasan ke seluruh negara menjelang 2035 menerusi model latihan berskala dan pembiayaan jangka panjang di Sabah dan Sarawak.
Anugerah WSIS dianjurkan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa bersama agensi-agensi PBB bagi mengiktiraf projek ICT yang menyumbang ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sejagat.