SPR tetap persempadanan kerusi, bukan kerajaan Sarawak, kata menteri

SPR tetap persempadanan kerusi, bukan kerajaan Sarawak, kata menteri

Menteri negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata SPR sahaja menentukan persempadanan dibuat di sebalik dakwaan gerrymandering oleh pembangkang.

Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata jumlah penambahan kerusi merupakan hak mutlak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
PETALING JAYA:
Kerajaan Sarawak tidak berkuasa menentukan persempadanan atau lokasi kerusi baharu, kata seorang menteri negeri, sambil menafikan dakwaan pembangkang mengenai gerrymandering dalam usul penambahan kerusi daripada 82 kepada 99.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuasa mutlak menentukan persempadanan dan penyesuaian kawasan pilihan raya, bukannya kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“GPS, dewan ini (Dewan Undangan Negeri) ataupun kerajaan yang memerintah tiada sebarang kuasa atau kata putus berhubung lokasi persempadanan 17 kerusi baharu itu kerana ia adalah hak mutlak SPR,” katanya di DUN.

Rang undang-undang bagi menambah jumlah kerusi daripada 82 kepada 99 diluluskan pada sidang khas, hari ini.

Dalam perbahasan, Violet Yong (DAP-Pending) mendakwa langkah itu bermotifkan politik, dan berkata ia merupakan bentuk gerrymandering kerana kerusi baharu dibentuk itu berada di kubu kuat GPS.

Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) juga menentang penambahan kerusi berkenaan, sambil menyatakan keluasan Sarawak sahaja tidak dapat mewajarkan penambahan wakil rakyat.

Karim berkata, SPR merupakan suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk melaksanakan pilihan raya secara adil dan tanpa sebarang prejudis.

Katanya, tuduhan ke atas kerajaan negeri kononnya menentukan sempadan kerusi adalah ‘tidak wajar, berunsur fitnah dan merendahkan usaha ikhlas SPR’.

Beliau turut menyebut, DUN perlu kekal dinamik dan responsif terhadap perubahan populasi negeri itu bagi memastikan ia terus mencerminkan suara semua rakyat Sarawak.

Karim juga memetik keputusan Wales menaikan jumlah kerusi mereka daripada 60 kepada 96 pada 2024. Sebagai perbandingan, katanya, peningkatan 20% kerusi di Sarawak adalah sederhana, apatah lagi kedua-dua wilayah itu mempunyai saiz populasi hampir sama.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee, kemudian menafikan dakwaan persempadanan pilihan raya menjadi punca kelemahan prestasi DAP dalam PRN sebelum ini.

Annuar, yang juga Adun Nangka, berkata penurunan kerusi DAP disebabkan sentimen rakyat, bukannya gerrymandering.

“Pada 2017, mereka hanya menang tujuh kerusi. Pada 2022, cuma dua sahaja. Dan tiada sebarang persempadanan semula antara kedua-dua pilihan raya itu,” katanya.

Ini menunjukkan dakwaan DAP mengenai reka bentuk kawasan pilihan raya yang tidak adil adalah tidak berasas, sebaliknya pengundi semakin beralih sokongan daripada parti itu.

“Ini bukti jelas isu ini bukan soal gerrymandering, tetapi soal prestasi. Rakyat semakin menjauhkan diri daripada DAP, atau mungkin GPS semakin menarik perhatian mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.