METMalaysia ramal cuaca panas kategori biasa hingga akhir Julai

METMalaysia ramal cuaca panas kategori biasa hingga akhir Julai

Jabatan Meteorologi meramalkan kebanyakan kawasan menerima taburan hujan sedikit dalam tempoh seminggu susulan pembentukan ribut tropika di barat Lautan Pasifik dekat Filipina.

minum air drink water cuaca panas
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Mohd Hisham Mohd Anip berkata suhu maksimum diramalkan boleh mencecah 36 darjah Celsius di beberapa kawasan, tetapi tidak mencapai tahap gelombang haba luar biasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Meteorologi (METMalaysia) meramalkan cuaca panas kategori biasa ketika ini akan berlarutan hingga akhir bulan ini.

Ketua Pengarahnya, Mohd Hisham Mohd Anip, berkata suhu maksimum diramalkan boleh mencecah 36 darjah Celsius di beberapa kawasan, tetapi tidak mencapai tahap gelombang haba luar biasa.

Menurutnya, kebanyakan kawasan diramalkan menerima taburan hujan sedikit dalam tempoh seminggu susulan pembentukan ribut tropika di barat Lautan Pasifik dekat Filipina.

“Dengan bacaan indeks El Nino Ayunan Selatan (ENSO) yang diramal berada pada nilai neutral sehingga hujung tahun ini, cuaca panas ekstrem dijangka tidak melanda negara pada musim monsun barat daya kali ini,” katanya menurut Berita Harian.

Hisham berkata, analisis model ramalan cuaca terkini menunjukkan pengaruh siklon tropika aktif di barat Lautan Pasifik dan Laut China Selatan sedang mengganggu corak hujan di Malaysia.

Jelasnya, pengaruh siklon tropika aktif menyebabkan operasi pembenihan awan (OPA) di utara Semenanjung, khususnya Kerian, Perak belum sesuai dilakukan dalam masa terdekat, walaupun cuaca dilaporkan kering dan kurang hujan.

Tetapi, katanya, jika berlaku perubahan cuaca signifikan berdasarkan kemas kini model ramalan cuaca, METMalaysia akan memaklumkan pihak berkaitan.

Isnin lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dilaporkan berkata, OPA akan dijalankan bagi menangani masalah sawah kering susulan paras air di Tasik Kolam Bukit Merah semakin susut akibat cuaca panas.

Hisham berkata, pihaknya hanya bertindak sebagai agensi teknikal dan penasihat, jika menerima permohonan rasmi daripada agensi mahu menjalankan OPA, khasnya dalam menangani krisis kekurangan air seperti di Kerian.

“METMalaysia akan menjalankan analisis ramalan cuaca berdasarkan model cuaca terkini dengan mengambil kira faktor tahap kelembapan udara tinggi, kewujudan awan kumulus menara di lokasi diperlukan serta tahap kestabilan atmosfera.

“Semua faktor ini akan menggalakkan pembentukan dan pertumbuhan awan sesuai bagi menghasilkan hujan apabila menjalankan OPA.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.