‘Awal lagi, ada proses perlu lalu untuk lantik Nick Adams’, kata PM

‘Awal lagi, ada proses perlu lalu untuk lantik Nick Adams’, kata PM

Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan beri pertimbangan dan pada masa sama pastikan hubungan Malaysia-Amerika Syarikat kekal baik.

nick adams
Pada 11 Julai The New York Times melaporkan Presiden Donald Trump mencalonkan Nick Adams untuk berkhidmat sebagai duta AS seterusnya ke Malaysia. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ada proses perlu dilalui dalam mempertimbangkan pemilihan Nick Adams sebagai duta Amerika Syarikat (AS) yang dibantah pelbagai pihak.

Bercakap kepada pemberita, Anwar berkata masih terlalu awal mengatakan Adams bakal dipilih menggantikan Edgard Kagan, diplomat kerjaya yang dicalonkan bekas presiden AS Joe Biden pada Mei 2023.

“Soal Adams itu kita ikut prosesnya…masih terlalu awal dan kerajaan tentunya akan memberikan pertimbangan.

“Dalam keadaan yang sama kita akan menjaga hubungan baik di antara Malaysia dan Amerika Syarikat,” katanya selepas solat Jumaat di Presint 14.

Sebelum ini, Menteri Luar Mohamad Hasan turut dipetik berkata terlalu awal untuk mengulas kemungkinan pempengaruh Australia-AS itu menjadi duta ke Malaysia.

Menurutnya, pelantikan Adams masih belum disahkan oleh Senat AS.

Pada 11 Julai, The New York Times melaporkan bahawa Presiden Donald Trump mencalonkan Adams untuk berkhidmat sebagai duta AS seterusnya ke Malaysia.

Adams, seorang pro-Zionis dan mendakwa dirinya ‘lelaki alfa’, berkata beliau teruja dengan pencalonan itu dan berjanji menyebarkan kemurahan hati Trump kepada rakyat Malaysia, sambil menambah dia juga teruja untuk merasai budaya Malaysia.

Bagaimanapun, pencalonan Adams menerima kritikan daripada banyak pihak di negara ini, merentasi jurang politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.