
Harian Metro melaporkan Khairul Adri Rosli, 51 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Dia didakwa menerima RM4,000 daripada wakil sebuah syarikat kontraktor baik pulih menerusi akaun syarikat ke dalam akaun seorang wanita mempunyai hubungan dengan tugas rasmi berkaitan kerja membina pondok pengawal di Kompleks Belia dan Sukan Melaka berjumlah RM49,950.
Kesalahan dilakukan di dua bank berbeza di Tampoi dan Permas Jaya, Johor Bahru pada 6 Jan 2023 dan 16 Feb 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Siti Asmah Zainal Ariffin menawarkan ikat jamin RM7,000 untuk dua pertuduhan.
Tetapi, peguam Nurashidah Md Razip merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya turut berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Melaka pada 17 Jun lalu yang menetapkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan, di mana tertuduh mengaku tidak bersalah.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menolak permohonan peguam untuk mengguna pakai jaminan sama di Mahkamah Sesyen Melaka.
Hakim menetapkan sebutan semula pada 29 Ogos ini untuk serahan dokumen.
Pada 17 Jun lalu, Khairul mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan menerima suapan berjumlah RM8,000 pada 2023 dan 2024.