
Ketua Polis Marang, Mohd Sofian Redzuan, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa 68 tahun mendakwa menerima panggilan telefon daripada suspek mulai 8 Dis lalu.
“Suspek menyamar pegawai polis mendakwa mangsa terlibat aktiviti pengubahan wang haram serta rasuah, dan keesokannya dia terima satu lagi panggilan telefon daripada individu mendakwa TPR.
“Mangsa diarah melaporkan diri lima kali sehari melalui aplikasi WhatsApp, membuka satu akaun bank baharu dan memindahkan semua wang daripada akaun sedia ada ke akaun baharu itu kononnya untuk siasatan,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, mangsa mengikut arahan suspek dengan membuka akaun baharu dan memindahkan semua wang simpanannya 14 Dis lalu, termasuk memadam mesej perbualan di WhatsApp..
Menurutnya, mangsa turut menyerahkan semua maklumat perbankan dan peribadi kepada suspek.
Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas menyemak akaun bank baru dibukanya yang menunjukkan baki simpanan berkurangan secara mendadak dengan 19 transaksi mencurigakan, sebelum membuat laporan untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.