Had tempoh PM: Putrajaya mahu capai kesepakatan awal

Had tempoh PM: Putrajaya mahu capai kesepakatan awal

Putrajaya akan adakan perbincangan dengan semua parti politik mengenai cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri.

pmo
Cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri libat pindaan Perlembagaan dan menyentuh kuasa budi bicara Agong, kata Menteri Azalina Othman Said.
PETALING JAYA:
Putrajaya akan mengadakan perbincangan dengan semua parti politik mengenai cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal Parlimen atau maksimum 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, perbincangan ini bagi mencapai kesepakatan awal berhubung cadangan itu, kerana melibatkan pindaan Perlembagaan.

Azalina menjelaskan satu kajian awal telah dijalankan dan dapatan awal dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada Mac.

“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa cadangan ini melibatkan pindaan kepada Perlembagaan dan menyentuh kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

“Oleh itu, ia memerlukan penelitian secara menyeluruh dan holistik, termasuk mendapatkan pandangan dan persetujuan pelbagai pihak berkepentingan seperti kerajaan-kerajaan negeri serta pihak-pihak politik di peringkat persekutuan dan negeri.”

Azalina menambah perkara ini masih dalam penelitian pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri pada masa ini.

Penerangan ini terkandung dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Azalina menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, yang meminta perdana menteri nyatakan bila kerajaan akan bentang pindaan berkenaan.

Terdahulu tahun ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan pada cadangan DAP iaitu mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri.

Beliau menegaskan adalah penting untuk mendapatkan sokongan semua pihak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.