

“Kerajaan tidak perlu terlalu risau dengan kehadiran sekitar 18,000 hingga 20,000 orang, yang jauh daripada jangkaan awal 300,000 hingga 500,000,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid kepada FMT.
Menurut anggaran polis, kira-kira 18,000 orang menyertai perhimpunan itu, walaupun penganjur iaitu Pemuda PAS mendakwa lebih 200,000 peserta hadir.
Sebagai perbandingan, perhimpunan anti-ICERD pada Disember 2018 yang dianjurkan oleh gabungan Umno, PAS dan NGO Melayu-Islam menarik lebih 30,000 peserta di Dataran Merdeka.
James Chin dari Universiti Tasmania pula menyifatkan perhimpunan itu sebagai satu kegagalan bagi penganjur, walaupun ada laporan mendakwa seramai 25,000 hingga 30,000 peserta hadir.

“Saya rasa salah satu sebab utama ia gagal ialah kerana beberapa NGO utama tidak turun dalam jumlah yang besar. Ia pada dasarnya hanyalah perhimpunan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Sehari sebelum perhimpunan, enam NGO berkata Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin tidak sepatutnya menggunakan nama mereka untuk mewajarkan protes itu.
Bersih, C4 Center, Ideas, Projek Sama, Pusat Komas dan Transparency International Malaysia berkata pertemuan mereka dengan Hamzah pada 1 Julai hanya untuk menyampaikan cadangan pembaharuan institusi, bukannya menyokong mana-mana kempen politik.
Hamzah dalam satu sidang media mendakwa NGO berkenaan menemui beliau kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan.
Fauzi turut mengkritik pembangkang yang tidak menawarkan alternatif jelas kepada Anwar dan hanya mendesak beliau berundur.
“Jika Anwar letak jawatan, siapa yang akan menggantikan beliau? Bersatu pun berbeza pendapat sama ada memilih Muhyiddin Yassin atau Hamzah Zainudin, manakala PAS pula mencadangkan Abdul Hadi Awang atau Samsuri Mokhtar.
“Selagi PN tidak dapat menyusun rumah tangganya sendiri, untuk meyakinkan rakyat memerlukan usaha yang besar,” katanya.
Jangan perkecilkan ketidakpuasan hati bukan Melayu, kerajaan diberi amaran
Fauzi turut mengingatkan kerajaan perpaduan agar tidak memandang rendah makna disebalik perhimpunan itu menjelang pilihan raya umum akan datang.
Merujuk kehadiran peserta bukan Melayu, beliau berkata ia boleh memberi petanda kemenangan PN jika bukan Melayu memilih untuk tidak keluar mengundi di kawasan marginal.
“Keadaan akan lebih baik (buat pembangkang) jika kita melihat penyertaan kaum yang lebih seimbang, dengan lebih ramai minoriti etnik yang hadir.
“Tetapi memang ada segelintir yang hadir, dan pihak pro-kerajaan perpaduan tidak patut menafikan perkara ini. Sekali-sekala kedengaran sorakan dalam bahasa Tamil dan Mandarin.
“Walaupun jumlah mereka kecil, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tidak harus memandang rendah kesan undi bukan Melayu yang kecewa terhadap mereka dalam pilihan raya umum nanti,” katanya.