
Anwar berkata, perkara itu dinyatakan dalam perbualan telefon bersama Trump pagi tadi.
“Presiden Donald Trump mengesahkan akan hadir ke sidang kemuncak Asean ke-47, pada Okt kelak dan saya maklumkan baik Tuan Presiden, saya akan umumkan di Parlimen pada hari ini,” katanya ketika membentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Menurut Anwar, dalam perbualan itu Trump turut merakamkan penghargaan terhadap Malaysia yang telah memainkan peranan berkesan dalam menyelesaikan konflik Thailand dan Kemboja.
“Dalam respon itu, saya menyatakan ini kerana kesepakatan ASEAN dan ini kerana sikap positif kedua-dua negara serta kerjasama yang ditunjukkan oleh AS khususnya Trump dan China.
“Selain itu, kami turut membincangkan soal tarif atas semangat dan prinsip perdagangan bebas juga mengenai pelbagai siri rundingan yang digerakkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Setiausaha Perdagangan AS,” katanya.
Menurut Anwar lagi, Trump dijangka mengumumkan kadar tarif baharu timbal balik yang dikenakan terhadap Malaysia, esok.
“Tetapi, yang penting ialah kewaspadaan kita kerana kemungkinan harga barangan dan kos mungkin meningkat.
“Sekiranya tarif itu tidak seperti mana yang kita jangka, yang penting ialah seperti mana yang pernah saya sebut di sini ketahanan yang harus kita bina,” katanya.