Impak tarif tak sampai meleset, pertumbuhan ekonomi mungkin perlahan, kata Tengku Zafrul

Impak tarif tak sampai meleset, pertumbuhan ekonomi mungkin perlahan, kata Tengku Zafrul

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri unjur ekonomi negara akan capai pertumbuhan, tetapi pada kadar lebih rendah.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, berkata AS membentuk 15% jumlah portfolio perdagangan Malaysia dan kekal destinasi eksport terbesar negara. (Gambar Bernama)
OSAKA:
Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan susulan pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata, walaupun impaknya mungkin tidak sampai boleh mencetuskan kemelesetan, namun negara berkemungkinan mengalami pertumbuhan lebih perlahan daripada jangkaan.

“Ini sejajar dengan semakan semula unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2025 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru daripada 4.5–5.5% kepada 4.0–4.8%.

“Impaknya mungkin tidak membawa kepada kemelesetan, tetapi kesannya tetap ada, yang mana pertumbuhan dicapai tetapi pada kadar yang lebih rendah,” katanya kepada media Malaysia di Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia Osaka 2025.

Tengku Zafrul berkata, kedua-dua Malaysia dan AS telah mencapai persetujuan dengan syarat utama perjanjian tarif timbal balik yang berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata, perjanjian itu merangkumi enam bahagian utama dan telah menerima input daripada Malaysia, dengan kenyataan bersama terakhir kini sedang menunggu pengesahan pihak AS.

Sementara itu, mengenai sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E) dan farmaseutikal, yang setakat ini menikmati tarif sifar, Tengku Zafrul berkata kebimbangan terhadap penurunan permintaan global semakin meningkat, terutamanya apabila perniagaan mula merasai kesan peningkatan kos.

“Banyak aktiviti pembelian awal telah berlaku. Banyak syarikat yang mengimport atau mendapatkan stok dan malahan barang siap. Jadi, ia bermakna sesetengah syarikat dapat menanggung kos daripada melepaskannya kepada pengguna.

“Tetapi, apabila stok semakin susut atau apabila bahan mentah atau kesan daripada rantaian bekalan mula dirasai, saya tidak pasti sama ada syarikat boleh menyerap keseluruhan kos.

“Jika pembekal atau pengeluar tidak dapat menyerap kenaikan tersebut, mereka terpaksa melepaskannya kepada pembeli.

“Jadi mampukah pembeli membelinya? Mungkin mereka boleh, tetapi mereka tidak akan membeli dengan banyak. Ini adalah kesan ke atas ekonomi, tetapi itu secara teori, dan kita akan lihat (nanti),” katanya.

Tengku Zafrul berkata, AS membentuk hanya 15% daripada jumlah portfolio perdagangan Malaysia dan kekal sebagai destinasi eksport terbesar negara.

Pada 2024, eksport Malaysia ke negara itu mencecah hampir RM200 bilion yang mana 60% daripadanya daripada sektor E&E.

Beliau berkata, berbanding negara serantau, Malaysia masih kekal berdaya saing dengan purata tarif tidak jauh berbeza dari negara-negara lain seperti Taiwan (20%).

Namun, katanya, memandangkan skala ekonomi AS yang besar menyumbang hampir 27% daripada keluaran dalam negara kasar global, sebarang kelembapan yang berlaku di negara itu akan membawa kesan yang meluas ke seluruh dunia.

“Sesetengah negara mungkin mengalami kesan lebih teruk daripada yang lain, bergantung kepada sejauh mana keterbukaan ekonomi mereka dan sebanyak mana mereka bergantung kepada perdagangan dengan AS,” katanya.

Mengenai dakwaan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berkenaan rundingan tarif Malaysia dan AS, Tengku Zafrul berkata, menjadi tanggungjawab beliau dan kementeriannya memberi penerangan yang sebenar.

“Saya fikir adalah tanggungjawab kita sebagai kerajaan untuk memberi gambaran yang benar mengenai situasi tarif ini.

“Kita telah pun mengeluarkan kenyataan sebelum ini. Dan semalam, saya telah pun memperbetulkan fakta-fakta yang salah (dakwaan Mahathir).

“Mungkin beliau mendapat sumber yang salah…kita hanya membetulkan fakta yang mungkin maklumat yang dibaca beliau maklumat yang salah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.