
PETALING JAYA: Polis merujuk dakwaan pembunuhan dua ekor anak kucing oleh seorang kanak-kanak di sebuah flat di Ampang, Selangor kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Ketua Polis Ampang Jaya Azam Ismail mengesahkan empat laporan polis telah dibuat berhubung kejadian bulan lalu, dan anggotanya telah dihantar ke lokasi kejadian.
Beliau berkata kes itu kemudian dirujuk kepada JPV Hulu Langat.
“Tiada kertas siasatan dibuka kerana kes ini telah dirujuk kepada jabatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Rakaman CCTV yang tular menunjukkan seorang kanak-kanak dipercayai mengambil dua ekor anak kucing dari sangkar di tingkat lima flat itu.
Haiwan itu kemudian ditemui mati di tingkat empat.