4 pegawai kanan tentera jadi ‘tokan’ dadah akan didakwa di mahkamah, kata Azam

4 pegawai kanan tentera jadi ‘tokan’ dadah akan didakwa di mahkamah, kata Azam

Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata seorang lagi pegawai kanan tentera yang ditahan akan dikemukakan laporan tatatertib kepada Kementerian Pertahanan.

atm seludup
SPRM menahan beberapa suspek terbabit sindiket penyeludupan dalam serbuan di sekitar Lembah Klang dalam operasi, 13 Ogos lalu.
PUTRAJAYA:
Empat pegawai kanan tentera yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah akan didakwa di mahkamah, kata Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki.

Beliau berkata seorang lagi pegawai kanan tentera yang ditahan sebelum ini pula akan dikemukakan laporan tatatertib kepada Kementerian Pertahanan untuk diambil tindakan.

“Siasatan telah siap dan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya. Keputusannya empat daripada pegawai kanan berkenaan telah dipersetujui oleh timbalan pendakwa raya untuk dituduh di mahkamah.

“Seorang lagi akan dikemukakan laporan tatatertib kepada Kementerian Pertahanan untuk diambil tindakan tatatertib ataupun untuk diambil tindakan lain-lain seperti ‘court martial” dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin pada 2 Sept lalu dilaporkan berkata pegawai kanan tentera yang ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah telah digantung tugas bagi membantu siasatan.

SPRM dalam satu operasi 13 Ogos lalu melumpuhkan satu sindiket penyeludupan di selatan negara, dipercayai didalangi oleh pegawai kanan tentera.

Sindiket itu membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran ke Malaysia yang kesemuanya membabitkan jumlah nilai sebanyak kira-kira RM5 juta sebulan.

Mengulas lanjut, Azam berkata enam orang awam yang ditahan termasuk warga Indonesia itu masih lagi dalam penelitian pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

“Ini sama ada mereka boleh dituduh atau tidak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.