
Mengulas rancangan kerajaan untuk memperkenalkan tenaga nuklear dalam tempoh 10 tahun akan datang, Charles Santiago dari DAP turut menggesa supaya analisis kos-manfaat penuh, termasuk kos penutupan operasi dan pengurusan sisa jangka panjang, didedahkan kepada umum.
“Adakah ia juga membandingkan kos dengan solar bagi pelaburan yang sama? Rakyat berhak melihat angka-angka itu secara bersebelahan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Malam tadi, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata tenaga nuklear telah diiktiraf pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) baru-baru ini sebagai satu pilihan yang berdaya maju untuk tenaga bersih dan boleh dipercayai.
Fadillah, yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air, berkata demikian ketika mendedahkan rancangan kerajaan untuk memperkenalkan tenaga nuklear.
“Dari segi keselamatan, banyak loji nuklear telah berkembang maju daripada generasi kedua ke generasi ketiga – sama ada dalam aspek teknologi, keselamatan, piawaian alam sekitar mahupun penerimaan global,” katanya seperti dilaporkan New Straits Times.
Namun, Santiago mempersoalkan sama ada tenaga nuklear boleh dianggap sebagai tenaga ‘bersih’, dengan berkata ia meninggalkan sisa radioaktif yang perlu disimpan dengan selamat selama beribu tahun.
Beliau merujuk kepada tragedi Bukit Merah pada 1980-an, di mana sejumlah besar thorium hidroksida ditemui di Papan pada 1984. Siasatan kemudian mendedahkan bahawa sisa radioaktif itu berasal daripada sebuah kilang nadir bumi yang ditubuhkan pada 1979.
Kanak-kanak di kawasan tersebut didapati mempunyai paras plumbum yang tinggi dalam darah mereka dan ujian klinikal mendapati sebahagian daripada mereka menghidap kanser serta penyakit autoimun, katanya.
Bekas Ahli Parlimen Klang itu turut bertanya sama ada selamat untuk membina reaktor nuklear berikutan berlakunya gempa bumi baru-baru ini di Johor.
Beliau juga menekankan sifat tenaga nuklear yang banyak menggunakan air untuk penyejukan, kemudian melepaskan air panas yang merosakkan sungai, perikanan, pertanian dan kegunaan rumah, sekali gus memburukkan lagi masalah kekurangan air ketika musim kering.
“Nuklear tiada peranan dalam peralihan tenaga yang adil. Ia menghabiskan berbilion dana awam, mewujudkan sisa radioaktif untuk generasi akan datang, dan tidak akan menjana tenaga dalam tempoh 10 hingga 15 tahun. Mengapa tidak melabur berbilion itu dalam tenaga bersih solar yang boleh kita hasilkan hari ini?” katanya.