Dewan Negara lulus RUU Pekerja Gig 2025

Dewan Negara lulus RUU Pekerja Gig 2025

RUU dijangka beri perlindungan menyeluruh termasuk aspek kebajikan, keselamatan sosial dan hak kumpulan pekerja.

dewan negara
RUU Pekerja Gig 2025 diluluskan hari ini dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 18 Ahli Dewan Negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025, melakar sejarah baharu dalam melindungi lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia.

RUU yang akan memberi perlindungan menyeluruh termasuk aspek kebajikan, keselamatan sosial dan hak kumpulan pekerja ini sebagai sebahagian tenaga kerja penting dalam ekonomi negara itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 18 Ahli Dewan Negara.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, pindaan itu bertujuan menangani kelemahan akta sedia ada.

Antara aspek yang ditekankan termasuk kebolehkuatkuasaan dengan memperkenalkan caruman automatik melalui integrasi sistem antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) dengan platform.

“Pekerja gig dalam sektor e-hailing dan p-hailing sememangnya diwajibkan mencarum dengan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial). Melalui peruntukan baharu ini, caruman akan dipotong secara automatik pada kadar 1.25% daripada pendapatan selepas ditolak komisen dan tip.

“Dalam erti kata lain, setiap RM1 hanya dipotong sekitar satu sen. Ini lebih praktikal berbanding kaedah semasa apabila mereka perlu membayar secara lump sum untuk pakej perlindungan kendiri bermula antara RM157.20 hingga RM592.80 setahun,” katanya, lapor Bernama.

Sim berkata, berbeza dengan model prabayar masa kini, pekerja perlu membuat bayaran lebih awal sebelum mendapat perlindungan dan pindaan baharu itu menggunakan kaedah prapascabayar, dengan perlindungan diberikan sebelum bayaran bermula.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Kesuma berkata, menerusi RUU ini, golongan pekerja ini akhirnya akan menikmati perlindungan yang sewajarnya sejajar dengan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi gig negara.

“RUU ini telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 28 Ogos dan diiktiraf sebagai satu proses yang telus dan inklusif, hasil penyertaan ribuan pihak berkepentingan malah dinilai oleh pakar pelbagai sektor, termasuk akademik, perundangan, ekonomi, dan wakil organisasi pekerja sebagai berpotensi menjadi penanda aras global dalam perundangan ekonomi gig.

“Fokus Kesuma selepas ini adalah untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi tujuan pewartaan dan penguatkuasaan akta tersebut,” katanya.

RUU itu mengandungi 112 fasal dalam 10 bahagian menerusi penekanan empat aspek utama, iaitu penetapan definisi pekerja gig, penubuhan majlis tiga hala bagi menentukan pendapatan dan syarat kerja, mekanisme penyelesaian pertikaian serta perlindungan keselamatan sosial.

Selain itu, Dewan Negara turut meluluskan RUU Perikanan (Pindaan) 2025 antaranya bertujuan memperkukuh undang-undang perikanan sedia ada bagi membanteras kegiatan perikanan tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia, selain menaikkan penalti bagi kesalahan berkaitan perikanan.

Arthur berkata, pindaan turut memperkemas penyelarasan agensi penguat kuasa, menambah baik Subseksyen 13(3A) yang menghalang permohonan lesen daripada pihak yang pernah disabitkan kesalahan dalam tempoh sehingga lima tahun bagi mengelakkan kesalahan yang sama berulang.

Katanya, RUU berkenaan turut memasukkan dua seksyen baharu, iaitu Seksyen 56C yang memberi kuasa ketua pengarah perikanan mengawal dan melarang kegiatan perikanan di kawasan tercemar serta Seksyen 57A yang menetapkan kesalahan khusus berkaitan pemberian kenyataan palsu dalam urusan di bawah akta.

Sidang bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.