
Mufti Johor Yahya Ahmad berkata, fatwa itu ditambah baik pada 2013 dan diperkukuh pada 2019, namun proses pewartaan mengambil masa.
Hal ini kerana langkah itu memerlukan kefahaman masyarakat yang jelas mengenai perbezaan antara seni budaya yang boleh dipelihara dengan amalan yang bercanggah syariat Islam, tambahnya.
“Kita tidak mahu orang salah anggap kononnya kita mahu hapuskan budaya,” katanya.
“Budaya itu boleh dikekalkan, tetapi mestilah disulamkan dengan syariat. Apa yang baik kita wariskan kepada generasi, apa yang bercanggah dengan Islam kita hentikan.”
Yahya berkata, pihaknya bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga menjalankan kajian lebih setahun bagi meneliti elemen dalam persembahan kuda kepang yang boleh diterima dan yang perlu dielakkan.
Hasil kajian itu bakal dijadikan panduan lengkap untuk penyediaan garis panduan persembahan supaya tradisi berkenaan dapat diteruskan tanpa menjejaskan prinsip akidah umat Islam.
Beliau berkata, garis panduan itu penting untuk membendung elemen pemujaan, khurafat dan perlakuan keterlaluan yang boleh mencemar maruah agama serta menimbulkan salah tanggapan terhadap Islam.
Tradisi yang sinonim dengan masyarakat Jawa di Johor itu, tidak akan dipadamkan daripada warisan budaya negeri ini, namun kefahaman masyarakat perlu diperkukuh.
Isu berkenaan tercetus semula selepas tular rakaman persembahan yang didakwa melibatkan unsur pemujaan, mabuk dan perlakuan yang menampakkan Islam seolah-olah dipandang rendah dan memaksa pihak berkuasa bertindak lebih tegas demi menjaga maruah agama dan negeri.
“Kalau ada segelintir netizen tidak setuju, kita harus lihat juga majoriti masyarakat yang mahukan amalan sebegini dibendung. Jangan kerana mahu jaga hati segelintir pihak, imej negeri dan agama kita tercemar,” kata Yahya.
Penguatkuasaan bukan sekadar berdasarkan fatwa, sebaliknya tertakluk kepada enakmen negeri yang jelas memperuntukkan tindakan terhadap perlakuan seperti pemujaan, khurafat dan kegiatan yang boleh membahayakan akidah umat Islam.
Minggu lepas, tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Syariah Batu Pahat atas tuduhan terbabit dalam upacara pemujaan dikaitkan dengan video tular ‘Show Puja Jin Batu Pahat’ yang memaparkan upacara dipercayai berkaitan tarian kuda kepang.