
Menurut Zambry, pengurusan UM mengakui bahawa aspek tertentu dalam persembahan tersebut melibatkan sensitiviti yang perlu ditangani.
“Pada umumnya, UM menyedari terdapat beberapa perkara sensitif yang perlu diperbaiki. Ada pihak mempersoalkan sama ada ini tindakan reaktif atau ketiadaan garis panduan.
“Saya ingin jelaskan bahawa setiap universiti mempunyai garis panduan masing-masing. Namun, dalam program melibatkan kreativiti, kadangkala ia dilihat dari perspektif berbeza,” katanya selepas satu acara di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, hari ini, lapor Utusan Malaysia.
Zambry menegaskan, langkah pembetulan mesti diambil bagi mengelakkan isu yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Ia bukan hanya melibatkan satu kaum atau agama, tetapi turut menyentuh tatasusila masyarakat Malaysia secara keseluruhan. UM juga telah memaklumkan mereka mengambil langkah untuk memperbetul keadaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan fakulti seni dan disiplin kreatif di semua universiti agar lebih peka dengan elemen sensitif dalam karya mereka.
“Kita tidak mahu sampai ke tahap mengambil tindakan seperti menutup fakulti berkaitan. Itu bukan langkah proaktif, sebaliknya bersifat reaktif sehingga dianggap sebagai isu besar.
“Sebaliknya, kita perlu memperbetulkan keadaan dengan berpandukan garis panduan sedia ada,” katanya.
UM memohon maaf secara terbuka pada Khamis selepas satu babak dalam pertandingan teater di universiti itu mengundang kritikan kerana didakwa terlalu mencolok mata.
Menurut universiti itu, peraturan pertandingan telah menggariskan setiap persembahan mestilah bebas daripada ‘elemen negatif, provokasi, atau kandungan yang boleh menjejaskan nilai agama, moral, etika dan budaya serta nama baik universiti’.
Katanya, hasil siasatan mendapati babak kontroversi itu tiada dalam skrip asal yang dihantar untuk pertandingan tersebut, lantas menyifatkannya sebagai pelanggaran peraturan pertandingan.