Kumpulan doktor kecam warganet serang pakar dalam inkues Zara

Kumpulan doktor kecam warganet serang pakar dalam inkues Zara

College of Physicians Malaysia berkata doktor mesti bebas menjalankan tanggungjawab mereka tanpa rasa takut terhadap ugutan.

Mahkamah kota kinabalu
Pakar Perunding Patologi Forensik Dr Jessie Hiu memberi keterangan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu minggu lalu mengenai kecederaan yang dialami Zara Qairina Mahathir sebelum kematiannya.
PETALING JAYA:
College of Physicians Malaysia (CoPM) mengecam tindakan warganet yang menyerang seorang pakar perunding patologi forensik berhubung keterangannya dalam inkues kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.

CoPM berkata Dr Jessie Hiu memberikan keterangannya dengan penuh profesionalisme, integriti dan tanggungjawab etika, dan menegaskan bahawa serangan terhadapnya sebagai saksi pakar adalah tidak boleh diterima.

“Doktor mesti bebas menjalankan tanggungjawab mereka sama ada di mahkamah, klinik, atau dalam talian tanpa rasa takut terhadap ugutan. Gangguan bukan sahaja menjejaskan individu tetapi juga melemahkan sistem kesihatan, merosakkan keadilan, dan menghakis kepercayaan awam.

“Kami juga menyeru orang ramai supaya menggunakan media sosial dengan berhemah. Doktor, seperti mana-mana profesional lain, berhak kepada keselamatan dan maruah di tempat kerja. Buli dan ugutan tidak boleh, dan tidak harus, diterima,” katanya dalam kenyataan.

Kumpulan itu menambah bahawa warganet yang menjadikan media sosial sebagai ‘senjata’ untuk mengugut atau memfitnah doktor, khususnya mereka yang beri keterangan sebagai saksi pakar di mahkamah, mesti diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Kami memuji tindakan pantas polis mengenal pasti suspek dan menggesa supaya tindakan tegas diteruskan terhadap ugutan sebegini.”

Hiu yang memberi keterangan di mahkamah minggu lalu berkata tidak mungkin kematian Zara berpunca daripada jatuh secara tidak sengaja atau akibat ditolak dari posisi berdiri di tempat kejadian.

Beliau berkata ada kemungkinan Zara memanjat tembok konkrit di tingkat tiga asramanya. Namun, beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada Zara terjun atas kehendak sendiri atau sebaliknya.

Hiu diminta memberikan pandangan profesionalnya mengenai kecederaan yang dialami pelajar Tingkatan 1 itu sebelum kematiannya.

Beliau berkhidmat sebagai pakar patologi forensik di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu sejak 1998.

Hiu juga memberi keterangan sebagai saksi pakar secara purata antara 10 hingga 15 kali setahun di mahkamah majistret, sesyen, dan Mahkamah Tinggi di Sabah serta Labuan.

Namun, pengguna media sosial memberi reaksi negatif terhadap keterangannya dengan ramai yang mempersoalkan dapatan serta kredibilitinya.

Beliau membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh susulan keterangannya itu. Seorang lelaki berusia 61 tahun di Semporna ditahan beberapa hari kemudian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.