Peguam syarie gesa SSM rekod kes tunggakan nafkah anak

Peguam syarie gesa SSM rekod kes tunggakan nafkah anak

Nor Liana Ali berkata langkah itu dapat mengurangkan kelewatan dalam penguatkuasaan perintah nafkah anak dan memastikan akauntabiliti pengarah syarikat.

school reopen mom sekolah ibu
Seorang peguam syarie berkata walaupun anak boleh menuntut nafkah tertunggak mengikut undang-undang semasa, kelemahan dalam sistem menyebabkan penguatkuasaan sukar dilakukan.
KUALA LUMPUR:
Seorang peguam syarie menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar memasukkan rekod tunggakan nafkah anak dalam pangkalan datanya bagi memperkukuh penguatkuasaan.

Nor Liana Ali berkata, jika perintah mahkamah dipaparkan dalam carian SSM, ia akan membantu mengurangkan kelewatan penguatkuasaan dan memastikan pengarah syarikat lebih bertanggungjawab.

“Untuk memegang jawatan sebagai pengarah syarikat, seseorang perlu berhemah, berdaya saing, tidak disenarai hitam dan tidak muflis.

“Jadi mengapa tidak turut memasukkan perintah tunggakan nafkah anak?” katanya ketika pelancaran Laporan Telenisa 2024 oleh SIS Forum (Malaysia) di sini.

Bagaimanapun, pada masa ini carian melalui sistem SSM hanya boleh dilakukan menggunakan nama syarikat.

Nor Liana mencadangkan supaya kaedah carian menggunakan nama pengarah atau pemegang saham, yang turut memaparkan sebarang hutang ditanggung mereka.

Beliau juga menyarankan agensi penarafan kredit seperti CTOS dan CCRIS menyenaraikan perintah mahkamah itu bagi meningkatkan tahap pematuhan.

Menurut undang-undang sedia ada, anak boleh menuntut nafkah tertunggak, namun Liana berkata ada kelemahan dalam sistem menyukarkan penguatkuasaan.

Beliau menjelaskan tunggakan tidak diiktiraf melainkan wujud perintah, yang bermaksud tuntutan dibuat pada usia 18 tahun tanpa perintah terdahulu mungkin ditolak.

Liana turut berkata datuk sebelah bapa boleh diarahkan membayar nafkah jika bapa tidak mampu, dengan merujuk satu kes di mana seorang remaja 18 tahun menyaman bapa dan datuknya.

“Terdapat anak-anak yang berani menegakkan hak mereka, dan ini amat menggalakkan,” katanya.

Laporan Telenisa merekodkan 30 kes tunggakan nafkah anak tahun ini, dengan kumpulan terbesar ialah bapa yang menganggur (12 kes) sebagai pihak yang gagal membayar.

Kes lain termasuk bayaran tidak mencukupi (10), pelanggaran perintah mahkamah (tiga), kegagalan memberi nafkah (dua), serta dua kes tanpa perintah dikeluarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.