Putin ‘serius timbang’ berkunjung ke Malaysia, kata Anwar

Putin ‘serius timbang’ berkunjung ke Malaysia, kata Anwar

Namun perdana menteri tidak menyebut garis masa cadangan lawatan presiden Rusia itu.

anwar putin
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Moscow, pada Mei. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Presiden Rusia Vladimir Putin ‘serius mempertimbangkan’ berkunjung ke Malaysia.

“Presiden Putin ada bertemu saya di Beijing dan berkata beliau serius mempertimbangkan untuk datang,” kata Anwar pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 AmBank.

Namun, Anwar tidak memberikan garis masa cadangan lawatan Putin itu.

Awal bulan ini, Anwar dan Putin antara pemimpin dunia yang berada di Beijing bagi perarakan Hari Kemenangan China untuk memperingati ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia II.

Anwar bertemu Putin semasa lawatannya ke Moscow pada Mei, di mana beliau menggambarkan Rusia sebagai ‘sahabat besar Malaysia’. Anwar juga melawat Rusia pada September tahun lalu.

Putin pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali, iaitu dua kali pada 2003 dan sekali pada 2005, ketika beliau menghadiri Sidang Kemuncak Rusia–Asean yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur.

Anwar ketika mengulas lanjut, berkata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, juga telah memaklumkan kepadanya mengenai rancangan lawatan bulan depan sempena Sidang Kemuncak Asean, dengan Perdana Menteri China, Li Qiang, juga dijadualkan melawat Kuala Lumpur.

“Kita bernasib baik. Walaupun timbul isu tarif, Presiden Donald Trump menelefon dan memaklumkan kepada saya bahawa beliau akan melawat Malaysia bulan depan sempena mesyuarat Asean. Perdana Menteri Li Qiang juga akan hadir,” kata Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.