
Abdul Halim Mansor dalam kenyataan mengesahkan bahawa MTUC menyokong penuh RUU Pekerja Gig, yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Ogos lepas dan bakal dibacakan di Dewan Negara hari ini.
“Kenyataan media saya sebelum ini pada 25 dan 28 Ogos 2025 di Dewan Rakyat yang menyokong pembentangan RUU Pekerja Gig adalah merupakan pendirian rasmi MTUC,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas kenyataan terdahulu oleh Kamarul Baharin Mansor, Halim berkata tiada bantahan dihantar sebelum ini.
“Kamarul tidak memberitahu saya bantahan MTUC dan tiada menghantar bantahan atau kenyataan sebelum RUU dibentang di Dewan Rakyat sebanyak tiga kali,” katanya.
Kamarul dalam kenyataan berkata Majlis Am MTUC yang bermesyuarat Ahad lalu meminta pembentangan RUU Pekerja Gig di Dewan Negara petang ini ditangguhkan sehingga sesi libat urus mereka dengan Kementerian Sumber Manusia selesai.
Katanya, penangguhan ini wajib bagi memberi peluang kepada MTUC memberikan maklum balas terhadap draf RUU tersebut.
Katanya lagi, MTUC telah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim meminta pembentangan RUU berkenaan di Dewan Negara, ditangguhkan.