Sindiket kurier: 5 kereta mewah, dadah 20kg antara dirampas

Sindiket kurier: 5 kereta mewah, dadah 20kg antara dirampas

Polis Sabah rampas deretan kereta mewah dan barang berharga lain termasuk ketamin bernilai RM4.21 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun, berkata empat individu diberkas dipercayai terlibat guna kurier bagi bawa masuk dadah dari Semenanjung ke negeri itu. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Suami isteri antara empat individu ditahan bersama ketamin seberat 20.7kg bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan di sebuah premis perkhidmatan kurier di Kepayan, Kota Kinabalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun, berkata dalam serbuan pada 12.15 tengah hari, Khamis lalu, turut disita lima kenderaan mewah, komputer, serta barangan lain bernilai RM3.18 juta, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan RM4.21 juta.

“Berdasarkan pemeriksaan, kita menemukan dua karung mengandungi 20 bungkusan dadah jenis ketamin dan seterusnya menahan seorang lelaki yang juga suspek utama.

“Hasil soal siasat ke atas suspek utama membawa kepada tangkapan tiga lagi individu termasuk seorang wanita pada 5 Sept. Semua suspek berusia antara 41 hingga 56 tahun dan suspek utama didapati positif dadah,” katanya menurut Bernama pada sidang media di IPK Sabah, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, rampasan tersebut selang seminggu selepas kejayaan pertama merampas lebih 40kg syabu.

Jauteh berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket pengedaran dadah tersebut mempunyai kaitan dengan tangkapan dan rampasan dadah pada 28 Ogos, berdasarkan modus operandi yang menggunakan perkhidmatan kurier bagi membawa masuk dadah dari Semenanjung ke Sabah.

Beliau berkata, ketamin itu dibungkus bersama barangan lain seperti mi segera dan lampin pakai buang yang dihantar melalui perkhidmatan kurier.

Jauteh berkata, semua tiga suspek lelaki dan seorang wanita tersebut kini direman hingga 11 Sept dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.