SPRM beku lebih RM17 juta berkait kes rasuah pegawai kanan DBKL

SPRM beku lebih RM17 juta berkait kes rasuah pegawai kanan DBKL

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata ia babitkan 11 akaun bank individu, 23 akaun syarikat dan tiga akaun saham.

Azam Baki
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata siasatan kes itu hampir lengkap dan akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya dalam tempoh terdekat untuk pertuduhan.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun berjumlah RM17,579,841 berkait siasatan kes rasuah membabitkan beberapa individu termasuk pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata akaun yang dibekukan itu membabitkan 11 akaun bank individu, 23 akaun bank syarikat dan tiga akaun saham.

“SPRM juga menyita wang tunai RM1,159,160 dan mata wang asing €12,300, GBP9,920 dan SGD24,280. Turut dirampas lapan telefon bimbit, beg tangan dan kasut berjenama yang dianggarkan berjumlah RM100,000.

“Dua buah kenderaan iaitu Lexus RX500h dan juga Mini Cooper S bernilai RM650,000 turut disita,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM.

Menurutnya, seramai 16 orang dirakam percakapan dan tiga lagi ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Pada 27 Ogos lalu, Azam berkata SPRM sedang menyiasat transaksi pembelian hartanah dikaitkan dengan pegawai kanan DBKL yang ditahan pada 25 Ogos lalu.

Azam berkata pegawai gred Jusa B itu memegang jawatan tinggi dan siasatan masih diteruskan.

Media sebelum ini melaporkan tiga individu, termasuk seorang pegawai kanan DBKL berusia 50-an direman empat hari kerana disyaki terbabit rasuah sejak 11 tahun lalu.

Difahamkan, baki dua individu ialah seorang pemilik syarikat dan seorang wanita berusia 40-an yang ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.

Sementara itu, Azam berkata siasatan kes itu hampir lengkap dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya dalam tempoh terdekat untuk pertuduhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.