SPRM tutup siasatan firma dikait Farhash berkait lesen cari gali mineral

SPRM tutup siasatan firma dikait Farhash berkait lesen cari gali mineral

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata Timbalan Pendakwa Raya (TPR) memutuskan tiada kes jenayah boleh dikenakan kepada mana-mana pihak.

Azam Baki
Azam Baki berkata tiada pihak boleh didakwa mengikut Akta SPRM 2009 atau akta lain dalam siasatan penerokaan mineral di Sabah.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap syarikat dikaitkan ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador berhubung penerokaan mineral di Sabah selesai dan ditutup.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) memutuskan tiada kes jenayah boleh dikenakan kepada mana-mana pihak.

Beliau menjelaskan tiada permohonan penerokaan perlombongan arang batu di kawasan rizab hutan di Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.

Menurut Azam, hanya permohonan eksplorasi secara bersyarat kepada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) pada Mac 2023 oleh Syarikat Bumi Suria Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Farhash.

“Tetapi syarikat itu diperlukan untuk mengemukakan dokumen-dokumen yang tertentu bagi sebarang kebenaran untuk eksplorasi berkenaan.

“Oleh kerana syarikat berkenaan tidak menepati atau tidak melaksanakan penyerahan dokumen diperlukan, maka permohonan itu telah dibatalkan pada 28 Mac 2025,” katanya pada sidang media.

“Siasatan telah dijalankan dan TPR buat keputusan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan mana-mana pihak di bawah Akta SPRM 2009 atau akta lain.”

Julai lalu, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah menafikan lesen mencari gali dikeluarkan kepada Syarikat Bumi Suria Sdn Bhd di bawah Peruntukan Ordinan Perlombongan Sabah 1960 (SMO 1960).

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan SMM telah menganugerahkan lesen penerokaan perlombongan arang batu kepada Bumi Suria.

Laporan itu menyatakan syarikat itu telah diberi hak eksklusif untuk meneroka dan mencari mineral di kawasan rizab hutan seluas 70,000 hektar di Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.

Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim berkata pihaknya bukanlah badan yang mempunyai kuasa untuk menganugerahkan lesen, dan ia juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sebarang lesen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.