Perjuangkan seni tempatan dan warisan, Tunku Azizah seru rakyat

Perjuangkan seni tempatan dan warisan, Tunku Azizah seru rakyat

Tengku Ampuan Pahang tekad dalam misi memastikan warisan budaya negeri dan negara maju demi generasi akan datang.

arts
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah percaya semua orang harus berminat dan belajar tentang warisan. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)
PETALING JAYA:
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sekian lama menjadi pendukung setia seni dan budaya tempatan. Komitmen baginda mencerminkan dedikasi mendalam untuk memelihara warisan budaya negeri dan negara.

Dalam temu bual eksklusif dengan FMT, Permaisuri Sultan Pahang menyeru semua rakyat agar berbangga dengan warisan negara dan memainkan peranan aktif dalam memelihara serta mempromosikannya.

“Anda perlu menjadikannya sebagai minat anda. Belajarlah segala sesuatu tentang warisan. Itulah sebabnya kita mengadakan temasya ini hari ini, dengan aktiviti seperti tarian Orang Asli. Saya mahu orang ramai tahu ini semua sebahagian warisan kita,” titah baginda.

Tunku Azizah penggerak di sebalik Temasya Warisan Pahang, iaitu sambutan seni, budaya, dan kraf tradisional selama seminggu di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pekan, Pahang dari 1 hingga 7 September.

pavilion
Tunku Azizah mengamati pakaian yang dipamerkan di Sarawak Pavilion sempena Temasya Warisan Pahang. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Acara mempamerkan persembahan yang meriah, bengkel yang menarik, dan gerai kraf yang sibuk ini mendapat sambutan luar biasa. Antara paling menonjol termasuklah Sarawak Pavilion yang popular, pameran gastronomi dan warisan kulinari Pantai Timur, serta bengkel dikendalikan penenun mahir dari Turki.

“Saya tidak sangka begitu ramai orang,” tambah baginda. “Melihat pengunjung datang dari KL dan tempat lain, ia menunjukkan bahawa rakyat berminat untuk belajar tentang warisan mereka.”

Tengku Ampuan sekian lama menyokong pemeliharaan dan promosi tradisi Pahang yang kaya. Salah satu sumbangan baginda yang paling penting ialah penubuhan program Tenun Pahang Diraja, yang melatih prospek di penjara dengan kemahiran menenun.

Baginda menjelaskan program itu bermula pada 2005 semasa pelancaran dua buku masakan untuk mengumpul dana bagi Yayasan Fertiliti Tunku Azizah.

“Kami membuat keputusan untuk memakai Tenun Pahang Diraja (kain sutera tenun) pada pelancaran buku-buku tersebut. Jadi saya ke Pekan, duduk bersama penenun dan memerhati mereka, lalu saya jatuh cinta dengan Tenun.”

Tunku Azizah berkongsi bahawa baginda juga bertemu dua prospek di Penjara Penor yang sedang belajar menenun, memberikannya ilham memulakan program itu.

Usaha baginda membuahkan hasil: apa yang bermula dari sudut kecil diduduki oleh dua orang itu kini berkembang kepada empat blok penjara.

“Setiap kali saya melawat penjara, hati saya berasa ‘bengkak’ sedikit, bak kata orang Melayu,” luah Tunku Azizah.

fabric
Tengku Ampuan menunjukkan kepada Pengerusi Eksekutif FMT Nelson Fernandez tenunan-tenunan yang menang Piala Tunku Azizah (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

“Sebaik sahaja saya masuk ke bengkel, mereka semua akan berdiri dan berbaris, dan menyambut saya dengan lantang: ‘Assalamualaikum Tengku Ampuan’, atau ‘Permaisuri’ — apa sahaja yang mereka mahu panggil saya. Anda berasa begitu banyak kasih sayang.”

Malah, pada Piala Tunku Azizah baru-baru ini — pertandingan untuk mencari dan mempamerkan bakat dalam seni Tenun Pahang Diraja — sebanyak 17 daripada 20 hadiah dimenangi oleh prospek dari penjara!

Dedikasi Tunku Azizah untuk membantu penghuni penjara tidak terhenti di situ: projek baginda seterusnya ialah Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah, ruang yang menawarkan bantuan pekerjaan kepada bekas penghuni penjara menggunakan kemahiran yang mereka pelajari di penjara.

Sementara itu, Tengku Ampuan giat memajukan seni dan budaya melalui Yayasan Warisan Tunku Azizah. Baginda menzahirkan terima kasih kepada semua yang membantu menghidupkan semula landskap seni dan warisan negeri, termasuk kerajaan negeri; jabatan penjara, muzium, dan kraftangan; serta suami baginda, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Tuanku bersungguh-sungguh mendorong, menyokong, dan menggerakkan saya. Baginda seorang lelaki yang penuh belas kasihan dan sentiasa baik dengan semua orang.”

cooking
Tunku Azizah menunjukkan kemahiran memasak dalam satu demonstrasi sempena Temasya Warisan Pahang. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Sesungguhnya, Tunku Azizah percaya teguh pemerintah harus memperjuangkan usaha yang memberi kebaikan kepada rakyat.

“Kita ada banyak perkara yang boleh dibanggakan di Malaysia. Lihatlah batik kita — sangat cantik! Saya berharap orang ramai boleh belajar untuk meluaskan pandangan mereka semasa berkarya.

“Apabila anda melancong, anda melihat dan belajar banyak perkara baharu. Anda mengambil ilham daripada reka bentuk lain dan belajar mengubah suai serta menambah baik seni anda, berbanding menjadi statik.

“Saya rasa ada banyak perkara yang boleh kita pelajari antara satu sama lain,” titah baginda mengakhiri perbualan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.