
Setiausaha agung GRS itu berkata walaupun keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) memberi kesan kepada gabungan itu, ia juga menjadi isyarat penting buat sekutunya di peringkat Persekutuan.
“Pengunduran mereka seharusnya mengingatkan PH supaya tidak menuntut terlalu banyak kerusi ketika rundingan, kerana ia membawa implikasi tersendiri.
“Wakil tempatan mesti kekal kuat,” katanya dalam sebuah program audio siar.
STAR dan SAPP keluar GRS minggu lalu selepas kedua-duanya berkeras mahu bertanding menggunakan logo masing-masing pada PRN. Mereka juga dilaporkan berhasrat meletakkan calon menentang PH.
Bagaimanapun, Masidi ketika itu menegaskan perjanjian dicapai antara GRS dan PH perlu dihormati.
PH sebelum ini dilaporkan menyasarkan 23 kerusi pada pilihan raya negeri berkenaan. Menurut Malaysiakini, PH mencadangkan PKR diberikan 13 kerusi manakala baki 10 dibahagi sama rata antara DAP dan Upko.
Ketua Penerangan STAR Anuar Ghani dipetik berkata parti itu memilih bergerak secara solo kerana tawaran 23 kerusi GRS kepada PH dianggap ‘terlalu banyak’ dan bercanggah sentimen tempatan.
Mengulas lanjut pengunduran STAR dan SAPP, Masidi berkata GRS menghormati perbezaan pandangan.
“Dalam politik, kadang-kala kita bukan sahaja perlu menerima tetapi meraikan perpisahan sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.
“Intipati demokrasi ialah kesediaan kita untuk bersetuju bagi tidak bersetuju,” katanya.
Mengenai kesediaan GRS menghadapi pilihan raya negeri, Masidi berkata gabungan itu kekal yakin untuk terus memimpin Sabah walaupun berdepan cabaran terkini, sambil menambah ia kini “lebih bersedia berbanding pihak lain untuk terus mentadbir negeri ini”.
Beliau berkata gabungan itu telah melalui tempoh lima tahun penuh cabaran dan kini berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk meneruskan dasar sedia ada.
Masidi turut menegaskan pengundi harus mengutamakan kestabilan dan mengingatkan bahawa perubahan politik yang berterusan hanya akan membawa kemunduran kepada negeri.
“Kita tidak mahu kerajaan baharu bermula semula dengan lebih banyak cubaan dan kesilapan. Kita sudah melaluinya.
“Kini kita tahu kesilapan yang perlu dielak dan langkah harus diambil untuk membawa Sabah ke depan,” katanya.