Insentif RM600 caruman setahun kepada e-panggilan, p-panggilan

Insentif RM600 caruman setahun kepada e-panggilan, p-panggilan

Mereka akan didaftarkan sebagai ahli KWSP di bawah skim i-Saraan Plus.

gig workers ehailing rider
Pemandu e-panggilan dan p-panggilan akan menerima had insentif padanan tahunan lebih tinggi sebanyak RM600 setahun, atau RM6,000 sepanjang hayat di bawah skim i-Saraan Plus. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Skim i-Saraan Plus inisiatif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperkenalkan khas untuk pemandu e-panggilan dan p-panggilan menawarkan had insentif padanan tahunan lebih tinggi iaitu RM600 dan RM6,000 sepanjang hayat.

KWSP berkata, pemandu akan didaftarkan sebagai ahli KWSP melalui penyedia platform, yang akan membantu melaksanakan potongan caruman pada kadar ditentukan sendiri oleh pemandu.

Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan skim berkenaan pada pembentangan Belanjawan 2026.

KWSP berkata, inisiatif terbaharu itu berdasarkan kejayaan program i-Saraan, yang mana ia dilanjutkan lagi ke tahun depan.

Anwar juga mengumumkan insentif padanan kerajaan bagi program i-Suri akan diteruskan untuk 2026, dengan had umur kelayakan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun.

Insentif tersebut bersamaan 50% daripada jumlah caruman tahunan, tertakluk maksimum RM300 setahun dan RM3,000 sepanjang hayat.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn, berkata i-Saraan dan i-Suri telah memainkan peranan penting memperluas liputan simpanan persaraan kepada lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KWSP untuk meningkatkan tahap perlindungan sosial, memastikan tiada siapa yang tercicir dalam membina keselamatan kewangan untuk persaraan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.