
Cabaran itu disuarakan Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Kunak Norazlinah Arif susulan kritikan Shafie terhadap kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).
Selain mendakwa GRS tunduk kepada PH, Shafie dalam program partinya minggu lalu, menggesa rakyat Sabah menolak parti dari Kuala Lumpur, merujuk kepada parti nasional.
Namun, kelmarin Shafie dipetik berkata partinya akan kekal mesra dengan kerajaan persekutuan, termasuk PH, jika berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya.
Norazlinah, penyandang DUN Kunak, menegaskan kenyataan Shafie bercanggah dengan sejarah politiknya sendiri, memandangkan Warisan pernah bersekutu secara rasmi dengan PH selepas PRU14 dan menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat.
“Adakah beliau lupa Warisan sendiri masih berada dalam lingkungan kerajaan Madani diterajui Anwar Ibrahim yang turut dianggotai parti dari Semenanjung?
“Jika benar beliau mahu menolak ‘parti dari KL’ pada PRN Sabah, saya cabar beliau tarik semula semua bentuk kerjasama politik dan sokongan terhadap kerajaan sekarang,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah, jika Shafie tidak berani berbuat demikian, kenyataannya hanyalah retorik politik tanpa prinsip yang bertujuan menimbulkan kebencian terhadap pihak lain menjelang pilihan raya.
Norazlinah turut mengingatkan pengakuan Shafie dalam satu video kempen politik yang tular, di mana beliau mendakwa pernah membantu tiga tokoh utama politik Semenanjung – Najib Razak, Anwar Ibrahim, dan Dr Mahathir Mohamad – yang masing-masing datang daripada ‘parti Malaya’ yang kini dikritiknya.
Dalam video itu, Shafie mendakwa pernah membantu Mahathir menjadi perdana menteri dua kali – pertama ketika beliau masih dalam Umno dan kali kedua selepas menjadi presiden Warisan pada 2016.
Beliau juga mengakui pernah membantu membebaskan Anwar pada 2018 dan mengangkat Najib sebagai perdana menteri sembilan tahun sebelumnya.
Menurut Norazlinah, GRS memilih bekerjasama dengan kerajaan perpaduan demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri, bukan kerana tunduk kepada mana-mana pihak.
“Kerjasama ini soal kebijaksanaan politik untuk memastikan Sabah terus menikmati pembangunan, pelaburan, dan perhatian yang adil daripada kerajaan persekutuan.
“Sebagai pemimpin, kita harus bercakap berdasarkan fakta dan jujur terhadap sejarah sendiri,” katanya yang yakin rakyat Sabah matang menilai siapa benar-benar berjuang untuk kemajuan negeri dan sekadar pandai berpidato tanpa membawa hasil.