
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan RM2 bilion itu hasil penjimatan yang diraih daripada penyasaran subsidi seperti diesel dan RON95.
Perkembangan ini diumumkan di Dewan Rakyat ketika beliau membentangkan Belanjawan 2026.
“Sukacita diumumkan, bagi 2026, semua sembilan juta penerima STR turut menerima SARA sehingga RM100 setiap bulan atau RM1,200 setahun.
“Manakala, 1 juta penerima STR di bawah eKasih menerima SARA sehingga RM200 sebulan atau RM2,400 setahun.
“Kategori bujang menerima RM600 iaitu RM50 sebulan melalui SARA,” katanya.
Kadar maksimum diterima isi rumah ialah RM4,600, iaitu pendapatan bawah RM2,500 sebulan dengan lima anak menerima STR RM2,200 dan SARA RM2,400, tambahnya.
Dalam pada itu, Anwar mengumumkan kerajaan sekali lagi akan memberi RM100 SARA kepada 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun ke atas, disalur pada pertengahan Februari yang boleh dimanfaat untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baru Cina.
STR merupakan bantuan kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah serta sederhana yang benar-benar berkelayakan dan memerlukan bagi mendepani cabaran kos sara hidup.
SARA ialah bantuan tunai yang dikreditkan ke MyKad penerima yang layak bagi pembelian 14 kategori barangan asas di lebih 7,300 kedai dan pasar raya terpilih.
Pada tahun ini, kerajaan menyediakan RM13 bilion untuk STR dan SARA yang memanfaat hampir 9 juta penerima.