Speaker tolak usul Ahli Parlimen bahas pendedahan Fifa

Speaker tolak usul Ahli Parlimen bahas pendedahan Fifa

Johari Abdul berkata isu itu sudah dijelaskan oleh menteri dalam negeri semalam.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dalam surat kepada Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin menyatakan bahawa keputusan itu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18(7)(b).
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, menolak usul Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin untuk membahaskan pendedahan Fifa mengenai asal-usul tujuh pemain bola sepak warisan Malaysia.

Dalam sepucuk surat kepada Ahli Parlimen itu yang dilihat oleh FMT, Johari berkata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail telah menerangkan isu itu semasa sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri semalam.

“Justeru, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18(7)(b) saya menolak usul Yang Berhormat dalam kamar,” katanya.

Menurut Peraturan Mesyuarat 18(7)(b), speaker boleh menolak mana-mana usul yang dikemukakan kepadanya jika beliau berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan telah dibahaskan dalam sidang semasa dan bahawa menteri berkenaan telah memberikan penjelasan.

Dalam sesi itu, Saifuddin berkata proses naturalisasi tujuh pemain bola sepak itu mengikut peraturan, berdasarkan tiga kriteria di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, iaitu berakhlak baik, mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam Bahasa Melayu, serta tinggal di Malaysia bagi tempoh yang ditetapkan dan berhasrat untuk menetap secara kekal.

Beliau berkata seramai 23 pemain bola sepak, termasuk tujuh pemain yang dikenakan tindakan oleh Fifa, dinaturalisasikan sebagai warganegara Malaysia sepanjang tempoh beliau sebagai menteri dalam negeri.

Chong mengemukakan usul berhubung pendedahan Fifa tiga hari lalu, dengan menyatakan bahawa pendedahan itu menimbulkan kebimbangan serius mengenai ketelusan tadbir urus sukan kebangsaan, proses naturalisasi atlet, serta pengawasan terhadap dokumen rasmi negara.

Pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Fifa sebelum ini berkata siasatannya mendapati dokumen palsu digunakan bagi membuktikan datuk dan nenek pemain berkenaan adalah warganegara Malaysia, sedangkan rekod menunjukkan mereka dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula menegaskan bahawa ia akan merayu terhadap tindakan Fifa itu dan berkata badan bola sepak antarabangsa itu tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.