Teruskan kempen pemilikan rumah, pemaju gesa kerajaan

Teruskan kempen pemilikan rumah, pemaju gesa kerajaan

Kempen yang diperbaharui akan menggalakkan pemilikan rumah, terutama dalam kalangan pembeli kali pertama.

perumahan baru
Kempen pemilikan rumah semasa terbukti berkesan menggalakkan pasaran hartanah melalui pengecualian duti setem dan insentif lain.
PETALING JAYA:
Seorang pemaju hartanah mengulangi gesaan agar kerajaan meneruskan kempen pemilikan rumah dan mengukuhkan usaha memudahkan pemilikan hartanah.

Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Leong Hoy Kum, berkata kempen semasa, yang dijadualkan berakhir pada 31 Dis, terbukti berkesan menggalakkan pasaran hartanah melalui pengecualian duti setem dan insentif lain.

“Kempen yang diperbaharui bukan sahaja akan menggalakkan pemilikan rumah, terutama dalam kalangan pembeli kali pertama, tetapi juga membantu mengekalkan momentum pasaran pada 2026,” menurut kenyataan.

Kempen pemilikan rumah, yang kali terakhir diadakan pada 2021, menawarkan pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan instrumen pindah milik, rebat minimum 10% dan pelbagai hadiah sampingan.

Tahun lepas, kempen itu penting dalam menyokong pembeli rumah dan mengurangkan lebihan hartanah, menurut Leong.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencadangkan penerusan kempen pemilikan rumah, dalam 13 cadangan yang dihantar ke Perbendaharaan untuk Belanjawan 2026, bulan lepas.

Leong memuji kerajaan kerana menyokong pasaran hartanah melalui pelanjutan pengecualian duti setem bagi rumah pertama berharga sehingga RM500,000 sehingga akhir 2027.

Beliau berkata keputusan kerajaan menaikkan had pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) daripada RM600,000 kepada RM1 juta juga akan memberi manfaat kepada penjawat awam dan merangsang pertumbuhan pasaran.

Secara berasingan, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyifatkan pengecualian duti setem sebagai rahmat untuk pembeli rumah kali pertama.

Rehda berkata perluasan skim jaminan kredit perumahan kepada RM20 bilion, bertujuan membantu mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk memiliki rumah, juga akan merancakkan pasaran perumahan.

Ia menyambut baik gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar institusi kewangan menyokong pelaksanaan skim sewa beli (rent-to-own), mengatakan ia akan memberi manfaat kepada isi rumah berpendapatan sederhana.

Bagaimanapun, persatuan itu bimbang mengenai kenaikan mendadak duti setem bagi pemilikan kediaman oleh warga asing, daripada 4% kepada 8%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.