
Bilcher Bala dan Syahruddin Awang Ahmad senada langkah itu penting dalam menguji kekuatan sebenar PN sebagai parti nasional untuk bangkit semula dalam landskap politik Sabah yang kini dikuasai parti tempatan dan sentimen autonomi negeri.
“Bertanding solo membolehkan PN menampilkan identiti tersendiri dan mengukur sokongan akar umbi tanpa terikat kepada kompromi awal,” kata Bilcher dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Ahad lalu, FMT melaporkan Pengerusi PN Sabah Ronald Kiandee menegaskan gabungan itu akan bertanding solo pada PRN, namun dalam masa sama melihat dinamik politik bagi kemungkinan kerjasama.
Syahruddin, penyelidik Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES), turut melihat keputusan PN bertanding solo sebagai ‘ujian realiti’ bagi mengukur semula kekuatan selepas kehilangan hampir seluruh jentera Bersatu kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 2022.
Katanya, keputusan itu akan menunjukkan sama ada pengaruh PN berpaksikan jenama parti itu sendiri atau sekadar bergantung pada personaliti pemimpin.
“Bertanding solo, meskipun berisiko tewas akan memberikan PN data elektoral sebenar mengenai kekuatan pengundian mereka di kawasan berbeza tanpa campur tangan.
“…dan pertindihan kerusi berpotensi berlaku sekiranya PN memilih untuk bergabung dengan mana-mana parti. Dengan hanya satu wakil rakyat (Parlimen Beluran) yang kekal, PN kini pemain kecil dalam politik Sabah,” katanya kepada FMT.
Kejayaan kempen PN bergantung isu tempatan
Namun, Bilcher mengingatkan kejayaan strategi bertanding solo bergantung kepada sejauh mana PN mampu menyesuaikan kempen dengan isu tempatan seperti hak tanah adat, pembangunan luar bandar dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kalau PN masih bawa pendekatan Semenanjung, mereka akan sukar diterima.
“Pengundi Sabah kini lebih kritikal dan menilai siapa benar-benar perjuangkan kepentingan negeri,” katanya.
Syahruddin turut berpendapat, dalam landskap politik Sabah yang menekankan autonomi dan kepentingan tempatan, parti nasional seperti PN perlu realistik dan tidak terburu-buru membentuk gabungan sebelum tahu kemampuan sendiri.
“Selepas wakil rakyatnya berpindah ke GRS beramai-ramai, PN tidak mempunyai kuasa tawar-menawar atau kemampuan untuk mengetuai mana-mana gabungan utama.
“Keadaan ini mengesahkan kedudukan PN sebagai pemain minoriti dalam politik Sabah,” katanya.
Sukar PN ketuai gabungan
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata jika PN berhasrat mengetuai gabungan politik di Sabah, ia perlu mempunyai kekuatan asas mencukupi antaranya jumlah kerusi signifikan, sokongan akar umbi serta calon boleh menang.
Tanpa kekuatan itu, katanya, PN hanya akan menjadi ‘penerima’ dalam kerjasama, menjadikan hubungan dengan parti-parti tempatan lebih bersifat subordinat daripada dominan.
Beliau berkata realitinya, GRS dan parti tempatan lain kini sudah memiliki pengaruh dan struktur kukuh, sekali gus menyukarkan PN untuk menuntut kedudukan utama dalam mana-mana pakatan.
“Sukar untuk PN menuntut pemimpin utama dalam gabungan kecuali membawa nilai tambah signifikan misalnya dana besar, sokongan nasional, akses ke kementerian persekutuan, atau imej nasional yang menarik,” katanya.